Selasa, 8 Januari 2019 | 8:38pm
Rahaf Mohammed al-Qunun. - AFP

Bapa remaja Arab Saudi tiba di Bangkok

BANGKOK: Bapa kepada gadis Arab Saudi berusia 18 tahun yang melarikan diri ke Thailand kerana bimbang dibunuh keluarganya, tiba di Bangkok dan mahu bertemu anak perempuannya itu, kata ketua imigresen Thailand hari ini.

Namun bapa dan abang Rahaf Mohammed al-Qunun terpaksa menunggu dan melihat sama ada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) membenarkan mereka berjumpa gadis itu, kata Surachate Hakpan.

“Bapa dan abangnya mahu berjumpa dan bercakap dengan Rahaf tetapi PBB perlu membenarkan perkara itu,” kata Surachate kepada wartawan.

UNHCR, hari ini berkata ia menyiasat ke Rahaf selepas beliau melarikan diri ke Thailand kerana bimbang akan dibunuh keluarganya jika dihantar balik ke Arab Saudi.

Aktivis bimbang mengenai tindakan Riyadh selepas Thailand menarik balik keputusan mengusir Rahaf dan membenarkan beliau memasuki negara itu dengan penjagaan UNHCR.

“Bapanya kini berada di Thailand dan ia adalah sumber kebimbangan.

“Kami tidak tahu apa yang akan dilakukan beliau, sama ada cuba mencari di mana Rahaf berada dan mengganggu gadis itu. Kami tidak tahu sama ada beliau akan cuba membuatkan kedutaan melakukan perkara itu,” kata timbalan pengarah Asia Human Rights Watch, Phil Robertson.

Ahli perundangan dan aktivis Australia dan Britain menggesa kerajaan mereka memberikan suaka kepada Rahaf, yang akhirnya dibenarkan memasuki Thailand lewat semalam, selepas hampir 48 jam terkandas di lapangan terbang Bangkok dengan ancaman akan diusir. — Reuters

1835 dibaca
Berita Harian X