Rabu, 9 Januari 2019 | 7:22am
Rahaf Mohammed al-Qunun berjabat tangan dengan pegawai imigresen Thailand di sebuah hotel dalam Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Isnin lalu. -Foto Reuters

Australia teliti permohonan suaka

BANGKOK: Australia berkata semalam, ia akan ‘menimbang dengan teliti’ permohonan suaka oleh wanita Arab Saudi berusia 18 tahun yang melarikan diri atas dakwaan didera keluarganya dan kini ditempatkan dalam jagaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Thailand.

Rahaf Mohammed al-Qunun tiba di lapangan terbang utama di sini dalam penerbangan dari Kuwait hujung minggu lalu selepas lari dari keluarganya yang didakwa melakukan penderaan fizikal dan psikologi terhadapnya.

Qunun berkata, dia merancang memohon suaka di Australia, bimbang dibunuh jika dihantar pulang pegawai imigresen Thailand yang menahannya di lapangan terbang.

Ahad lalu, pihak berkuasa Thailand berkata, Qunun akan dihantar pulang ke Arab Saudi namun mereka segera mengubah fikiran oleh kerana berita mengenai wanita itu tersebar di media sosial.

Qunun menghantar berpuluh tweet dan video langsung dalam bahasa Inggeris dan Arab, sesetengah menceritakan bagaimana dia mengunci dirinya dalam bilik hotel. Akaunnya segera menarik puluhan ribu pengikut susulan pendedahan media antarabangsa.

Kelmarin, dia dibenarkan meninggalkan lapangan terbang dan ditempatkan dalam jagaan agensi pelarian PBB.

Kerajaan Australia semalam membayangkan pemberian status pelarian kepada wanita muda itu, mengatakan pihaknya ‘berpuas hati’ PBB sedang menilai permohonan berkenaan.

“Sebarang permohonan oleh Al-Qunun untuk visa kemanusiaan akan dipertimbangkan dengan teliti sebaik proses UNHCR (agensi pelarian PBB) dirumuskan,” kata seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri kepada AFP.

Di Geneva, seorang jurucakap UNHCR, Babar Baloch memaklumkan media, proses penelitian ‘tuntutan suaka’ Qunun sudah bermula dan mungkin mengambil masa beberapa hari. -AFP

Berita Harian X