Khamis, 10 Januari 2019 | 3:46pm
Payne (kiri) berjabat tangan dengan Don di Kementerian Luar Thailand di Bangkok, hari ini. -Foto AFP

Menteri Luar Australia lawat Thailand

BANGKOK: Menteri Luar Australia Marise Payne bertemu rakan sejawatannya dari Thailand, Don Pramudwinai hari ini, ketika negaranya bersedia menawarkan suaka kepada wanita Arab Saudi yang lari dari keluarganya ke negara ini.

Cubaan Rahaf Mohammed al-Qunun, 18, untuk lari dari negara pentadbiran diraja ultra konservatif menjadi perhatian kumpulan hak asasi sejak dia mendarat di ibu kota ini dari Kuwait hujung minggu lalu.

Pihak berkuasa Thailand mengugut menghantarnya pulang namun dengan bantuan aktivis, diplomat dan akaun Twitter, Qunun melancarkan kempen mendapatkan suaka.

Ketika perhatian global meningkat, pihak berkuasa Thailand menarik balik ancaman pengusiran, menyerahkan wanita itu ke dalam jagaan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) di sini, yang menggesa Australia supaya menawarkan tempat untuknya.

Kunjungan dijadualkan Payne dibuat selepas Canberra memberi bayangan kukuh, ia akan menerima Qunun.

Semalam, Australia berkata, UNHCR sudah meneliti kes wanita itu dan mengiktirafnya sebagai pelarian sah.

Dalam satu kenyataan sebelum kunjungannya, Payne tidak menyebut kes Qunun namun berkata, pihaknya akan melobi bekas pemain bola sepak Bahrain, Hakeem Alaraibi, yang diberi status pelarian di Australia susulan tindakan keras ketika kebangkitan Arab (Arab Spring).

Dia dikehendaki di Bahrain atas tuduhan dikaitkan rusuhan, namun dinafikannya. Alaraibi ditahan di ibu kota ini November lalu ketika bercuti bersama isterinya. -AFP

Berita Harian X