Jumaat, 18 Januari 2019 | 8:07pm
Jet pejuang F-35 adalah pesawat supersonik yang mana kriteria lanjut siluman membolehkan juruterbang mengelak dikesan radar, menurut pengeluarnya, Lockheed Martin. -Foto Agensi

Singapura beli jet pejuang F-35 buatan AS

SINGAPURA: Republik ini memilih jet pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat (AS) untuk menggantikan pesawat perang usang miliknya, berbanding model Eropah dan China, kata Kementerian Pertahanan hari ini.

Negara kecil Asia Tenggara yang memiliki aset tentera terbaik di Asia sebelum itu berkata, ia sedang menimbang pembelian jet pejuang Lockheed Martin F-35 bersama Eurofighter Typhoon buatan Eropah dan pesawat perang siluman China.

“Jet pejuang F-16 bakal direhatkan tidak lama lagi selepas 2030 dan pesawat F-35 Joint Strike Fighter dikenal pasti sebagai pengganti paling layak mengekalkan keupayaan RSAF (Tentera Udara Republik Singapura),” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Kementerian berkata, tentera udara perlu membeli sejumlah kecil F-35 untuk penilaian penuh keupayaan dan kelayakan mereka sebelum memutuskan pembelian skala penuh.

Australia, Jepan dan Korea Selatan adalah antara negara Asia Pasifik yang sudah memiliki F-35.

Menteri Pertahanan, Ng Eng Hen dalam tulisan Facebook berkata, republik itu mengambil masa lebih lima tahun membuat keputusan membeli jet pejuang baharu oleh kerana mereka perlu meneliti spesifikasi dan apa yang diperlukan.

Jet pejuang F-35 adalah pesawat supersonik yang mana kriteria lanjut siluman membolehkan juruterbang mengelak dikesan radar, menurut pengeluarnya, Lockheed Martin.

Keupayaan peperangan maju dari segi elektronik membolehkan juruterbang F-35 mengesan tentera musuh, menyekat radar dan mengganggu serangan.

Tentera Singapura juga memiliki pesawat pejuang F-15, helikopter tempur Apache dan kapal selam.

-AFP

Berita Harian X