Khamis, 24 Januari 2019 | 9:46am
Bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dibebaskan dari penjara hari ini. Foto Agensi

Ahok dibebaskan hari ini

JAKARTA: Bekas gabenor Jakarta dibebaskan dari penjara hari ini, hampir dua tahun selepas disabitkan bersalah atas tuduhan menghina Islam yang membangkitkan kebimbangan tiada tolak ansur agama di negara paling ramai umat Islam di dunia itu.

Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, Gabenor Jakarta bukan Islam pertama dalam tempoh setengah abad dan pemimpin etnik Cina pertama, adalah ahli politik terkenal yang dipuji kerana cuba mengatasi kesesakan jalan raya di bandar raya itu dan membanteras rasuah.

Namun, kejatuhan Ahok berlaku secara mendadak selepas kenyataan beliau dalam kempen pemilihan semula yang menyaksikan bekas gabenor itu dituduh menghina Islam.

Rakaman kenyataannya menjadi tular secara atas talian, sekali gus mencetuskan bantahan besar-besaran di Jakarta, diketuai kumpulan radikal yang menentang pemimpin bukan Islam serta menyokong pencabarnya.

Bantahn itu menyebabkan beliau kalah pada pilihan raya kepada calon beragama Islam dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada Mei 2017.

Ia dianggap hukuman berat yang luar biasa kerana pendakwa raya hanya mencadangkan tempoh pemerhatian untuk pemimpin yang kini berusia 52 tahun itu.

Kes Ahok menjadi tajuk utama dunia dan mencetuskan gelombang kritikan, termasuk daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa negara dengan 260 juta penduduk itu menyemak semula undang-undang menghina agama.

Dakwaan terhadap Ahok bertumpu kepada kenyataannya kepada pengundi mengenai pencabarnya menggunakan ayat Al Quran bagi memperdaya orang ramai tidak menyokong beliau, yang disifatkan hakim sebagai menghina Islam. - AFP

Berita Harian X