Ahad, 27 Januari 2019 | 6:03pm
Pichayapa ‘Namsai’ Natha (kanan) memakai baju T dengan bendera Nazi memaparkan swastika. - Ihsan True ID TV
Pichayapa ‘Namsai’ Natha (kanan) memakai baju T dengan bendera Nazi memaparkan swastika. - Ihsan True ID TV

Idola pop Thai mohon maaf pakai baju Nazi

BANGKOK: Seorang anggota kumpulan penyanyi wanita popular Thailand meminta maaf kerana memakai baju T dengan bendera Nazi memaparkan swastika, selepas kemunculannya semalam di televisyen mengundang kemarahan kedutaan Israel.

Imej Hitler, swastika dan pemakaian lain Nazi adalah biasa pada baju T dan tanda kenangan lain di Thailand, fenomena yang dipersalahkan ke atas kekurangan pemahaman sejarah berbanding kecenderungan politik.

Kejadian terbaru dilakukan Pichayapa ‘Namsai’ Natha, salah seorang penyanyi kumpulan BNK48, apabila memakai baju putih dan merah dilengkapi lambang swastika ketika latihan.

Timbalan ketua misi Kedutaan Israeal di Bangkok menulis di Twitter hari berikutnya untuk meluahkan ‘rasa terkejut dan kecewa’ dengan pakaian itu, kerana hari ini adalah Hari Memperingati Holocaust Antarabangsa.

“Paparan simbol Nazi oleh kumpulan penyanyi itu menyinggung perasaan jutaan orang di seluruh dunia,” kata Smadar Shapira.

Penyanyi berusia 19 tahun itu bertemu dengan duta Israel tengah hari ini, kata Shapira.

Semalam, Nasmai memohon maaf dengan linangan air mata di atas pentas ketika konsert.

“Saya mahu perkara ini menjadi contoh kepada semua, maafkan saya,” katanya.

Beliau turut bertanggungjawab penuh di atas kejahilannya dalam permohonan maaf yang disiarkan dalam laman Facebook rasminya. — AFP

Berita Harian X