Isnin, 28 Januari 2019 | 10:01pm

Thailand tarik balik permohonan paten ganja syarikat asing

BANGKOK: Thailand menarik balik semua permohonan paten untuk penggunaan ganja asing, hari ini, selepas wujud kebimbangan syarikat asing akan mendominasi pasaran yang dibuka, bulan lalu, selepas kerajaan meluluskan penggunaan dadah terbabit bagi tujuan perubatan dan penyelidikan.

Parlimen yang dilantik kerajaan junta negara itu meluluskan pindaan Akta Narkotik 1979, Disember lalu dalam apa yang disifatkan sebagai ‘hadiah Tahun Baharu kepada rakyat Thailand’.

Walaupun beberapa negara dari Colombia sehingga ke Kanada sudah menghalalkan ganja untuk perubatan atau rekreasi, dadah itu masih haram dan pantang di banyak negara Asia Tenggara.

Namun di Thailand, kontroversi utamanya membabitkan beberapa permohonan paten yang difailkan dua syarikat asing, syarikat gergasi Britain GW Pharmaceuticals dan Jepun Otsuka Pharmaceutical.

Banyak kumpulan awam dan penyelidik bimbang dominasi syarikat asing akan menyukarkan pesakit Thailand mendapat ubat daripada ganja dan bagi penyelidik Thailand mendapat ekstrak ganja. - Reuters

Berita Harian X