Jumaat, 15 Februari 2019 | 4:17pm
Seorang penganalisis berkata, penemuan terbaharu etnik Rohingya ke Malaysia adalah petanda ‘berbahaya’, menunjukkan betapa terdesaknya pelarian di lebih 30 kem buluh dan tarpaulin dalam persekitaran daif serta sesak. -Foto Agensi

Isu Rohingya diseludup ke Malaysia, pelarian semakin terdesak - Penganalisis

DHAKA: Polis Bangladesh menahan 43 pelarian Rohingya daripada diseludup ke Malaysia menggunakan bot dengan 12 wanita mendakwa mereka diculik penyeludup, kata pihak berkuasa semalam.

Bertindak atas maklumat, polis menemui pelarian terbabit di dua tempat berasingan di sempadan tenggara daerah Cox’s Bazar, menambah jumlah Rohingya diselamatkan daripada penyeludup kepada lebih 100 orang dalam tempoh kurang seminggu.

Kira-kira 740,000 minoriti Islam itu lari dari Myanmar ke Bangladesh selepas satu tindakan keras tentera di negara majoriti Buddha itu pada Ogos 2017.

Mereka menyertai tambahan 300,000 Rohingya yang hidup dalam kem terlebih sesak di Cox’s Bazar berikutan keganasan sebelumnya.

Pihak berkuasa bimbang ramai mungkin dieksploitasi skim pemerdagangan manusia terancang antarabangsa

yang sebelum ini menghantar ribuan Rohingya ke Malaysia menaiki bot sehingga Bangladesh melancarkan tindakan keras pada 2015 susulan penemuan kubur besar pelarian di Thailand.

Batalion Tindakan Pantas (RAB), unit elit polis berkata, mereka menyelamatkan 12 wanita, kebanyakannya berusia 20-an dari sebuah bilik di Cox’s Bazar awal pagi semalam dan menahan dua penyeludup kerana ‘menculik’ mereka.

“Wanita muda dari kem pelarian diperdaya penyeludup. Mereka dijanjikan untuk dihantar ke Malaysia sebaliknya dibawa ke Cox’s Bazar dan dikurung dalam sebuah rumah,” kata jurucakap RAB, Mashkur Rahman kepada AFP menambah kes itu dianggap menculikan selepas wanita terbabit mendakwa dikurung tanpa rela.

Dalam satu lagi sebuan lewat kelmarin, polis Cox’s Bazar menyelamatkan tambahan 31 Rohingya dari pulau selatan Maheskhali, sejauh 110 kilometer dari kem pelarian sesak Kutupalong.

Ketua polis tempatan, Provash Chandra berkata, 14 wanita, 11 lelaki dan enam kanak-kanak bersembunyi dalam sebuah hutan tepi pantai di Maheshkhali, menunggu menaiki bot ke Malaysia.

“Mereka membayar kira-kira 20,000 taka (RM972.31) setiap seorang kepada penyeludup untuk perjalanan itu,” katanya yang menahan seorang penyeludup wanita dan mencari pesalah lain.

Seorang penganalisis berkata, penemuan terbaharu etnik Rohingya ke Malaysia adalah satu tanda ‘berbahaya’ dan menunjukkan betapa terdesaknya pelarian di lebih 30 kem buluh dan tarpaulin dalam persekitaran daif serta sesak.

“Adalah biasa untuk pelarian terdesak cuba menempuh risiko mencari masa depan lebih baik. Mereka tahu jalannya penuh berliku, namun ramai berpendapat, itu satu-satunya jalan keluar,” kata Tasneem Siddiqui, mengetuai kumpulan pemikir Bangladesh berkaitan isu penghijrahan.

Pihak berkuasa bimbang, lebih ramai Rohingya akan cuba menaiki bot ke Malaysia ketika Teluk Bengal tenang sebelum ketibaan musim monsun penghujung Mac. -AFP

Berita Harian X