Rabu, 20 Februari 2019 | 1:17pm
SUSILO Bambang Yudhoyono. - Foto AFP
SUSILO Bambang Yudhoyono. - Foto AFP

SBY tidak sertai kempen, fokus rawatan isteri

JAKARTA: Pengerusi Parti Demokratik, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) tidak akan menyertai sebarang kempen menjelang pilihan raya umum 2019 Indonesia kerana mahu berada di sisi isterinya, Kristiani Herrawati yang sedang menjalani rawatan kanser darah di Singapura.

Rabu lalu, bekas presiden itu mendedahkan keadaan kesihatan isterinya, turut dikenali sebagai Ani Yudhoyno yang sedang menerima rawatan perubatan intensif di Hospital Universiti Nasional Singapura sejak 2 Februari lalu.

Menurut pakar perubatan, jenis kanser darah yang dideritai bekas wanita pertama Indonesia itu juga masih belum dapat disahkan.

“Beliau tidak dapat menyertai beberapa kempen yang sudah dijadualkan di Jawa Tengah dan Timur,” kata ahli Parti Golkar dan bekas Menteri Industri, MS Hidayat selepas melawat keluarga SBY di Singapura Ahad lalu seperti yang dilapor agensi berita Antara.

Parti Demokratik adalah sebahagian daripada gabungan parti yang menyokong calon presiden, Prabowo Subianto dan calon naib presiden, Sandiaga Uno.

Tambah Hidayat, penampilan SBY dalam sebarang aktiviti berkaitan kempen pilihan raya sebaliknya akan diganti anak sulungnya, Agus Harimurti Yudhoyono.

Ahad lalu, Ani, 66 memuat naik gambarnya bersama suami sambil menjelaskan jenis rawatan yang bakal dilalui untuk menyembuhkan penyakitnya.

“Walau apapun, kami perlu menerima hakikat ini dan reda dengan ujian Tuhan. Saya mampu melawan kanser ini dengan sokongan kuat semua pihak di Indonesia dan luar.” - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X