Ahad, 24 March 2019 | 9:28pm
Lebih 10,000 penunggang motosikal berkonvoi di beberapa lebuh raya utama di ibu negara Filipina, hari ini. - Foto EPA
Penunggang motosikal berkonvoi bagi membantah peraturan baharu yang memaksa mereka mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lebih besar. - Foto EPA

Bantah nombor pendaftaran motosikal lebih besar

MANILA: Lebih 10,000 penunggang motosikal berkonvoi di beberapa lebuh raya utama di ibu negara Filipina, hari ini, untuk membantah peraturan baharu yang memaksa mereka mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lebih besar sambil menyatakan langkah itu tidak menyelesaikan masalah.

Banyak kes bunuh, rompakan dan jenayah lain dilakukan penunggang motosikal berleluasa di Filipina, ketika semakin ramai orang menggunakan motosikal kerana jalan terlalu sesak.

Bulan ini, Presiden Rodrigo Duterte menandatangani undang-undang itu yang memerlukan semua motosikal mempamerkan nombor pendaftaran depan dan belakang lebih besar supaya lebih jelas untuk dilihat pihak berkuasa atau saksi kejadian jenayah.

Sebelum ini, nombor pendaftaran kenderaan hanya dipamerkan di belakang. Di bawah undang-undang baharu itu, nombor pendaftaran depan kenderaan patut boleh dibaca dari jarak 15 meter.

“Ini bukan penyelesaian kepada jenayah kerana penjenayah tidak akan menggunakan motosikal sendiri. Ia menjadi sebab mengapa komuniti penunggang motosikal patut menentang undang-undang ini,” kata salah seorang penunjuk perasaan, Joseph De Los Reyes. - Reuters

2767 dibaca
Berita Harian X