Selasa, 9 April 2019 | 4:05pm
Sejak beberapa tahun lalu, jumlah pelancong tidak terkira mengambil gambar pesawat terbang melintasi pantai Mai Khao untuk mendarat di Phuket. -Foto Reuters

Pelancong boleh dihukum mati jika ambil swafoto di pantai Phuket

PHUKET: Pelancong diberi amaran, mereka mungkin dijatuhi hukuman mati kerana mengambil swafoto di sebuah pantai popular Thailand terkenal kerana pertembungan amat hampir dengan pesawat.

Timbalan Ketua Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, Wichit Kaeothaithiam baru-baru ini memaklumkan akhbar Bangkok Post, mengambil gambar di Pantai Mai Khao yang terletak berhampiran akan dilarang tidak lama lagi.

Katanya, walaupun popular dengan pelancong yang mahu mengambil gambar amat hampir dengan pesawat, ‘landasan swafoto’ itu menjadi gangguan kepada juruterbang.

Wichit berkata, kawasan penghujung pantai berhampiran landasan akan dimasukkan ke dalam zon keselamatan ‘larangan’ yang baharu dibangunkan, berkuat kuasa serta merta.

“Orang ramai dan pelancong tidak akan dibenarkan memasuki kawasan itu untuk mengambil gambar,” kata Wichit.

Sejak beberapa tahun lalu, jumlah pelancong tidak terkira mengambil gambar pesawat terbang melintasi pantai Mai Khao ke landasan pulau itu.

Namun mengikut peraturan baharu yang ketat, Wichit berkata, pengunjung pantai yang mengambil gambar berisiko dikenakan denda berat atau mungkin dijatuhi hukuman mati.

“Hukuman maksimum ialah hukuman mati,” katanya.

Menurut beliau, pihak berkuasa akan menguatkuasakan peraturan baharu itu mengikut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

Katanya, pelancong yang mengambil swafoto di pantai menambah kepada pergerakan berterusan, yang menjadi kebimbangan meningkat.

Ketika bersetuju meningkatkan hasil lapangan terbang adalah penting, beliau menegaskan, pelancongan dan keselamatan perlu wujud secara bersama.

Penduduk tempatan dan pelancong digesa mengelak menerbangkan dron dan menghalakan lampu suluh ke arah pesawat, yang menjadi gangguan kepada pesawat yang datang.

Pihak berkuasa berharap, zon baharu keselamatan di Lapangan Terbang Phuket akan mengurangkan jumlah dron dan gangguan cahaya terhadap pesawat yang mendarat. -Agensi

2884 dibaca
Berita Harian X