Selasa, 21 Mei 2019 | 7:13am
JOKO Widodo. - Foto AFP

Jokowi kekal Presiden Indonesia untuk penggal kedua

JAKARTA: Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden Indonesia 2019 (Pilpres 2019), sekali gus kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi tempoh 2019-2024.

Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) membuat pengumuman itu jam 1.46 pagi ini (waktu Indonesia Barat) mengumumkan keputusan (Pilpres 2019), sehari lebih awal, selepas proses pengiraan undi di 813,350 pusat mengundi, selesai 11.30 malam, semalam.

Jokowi, 57, bersama gandingannya untuk jawatan naib presiden, Ma'ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala pencabarnya, Prabowo Subianto, 67, dan gandingannya, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

Jumlah undian itu memberi margin kemenangan Jokowi kepada 55.5 peratus sementara pencabarnya, Prabowo, 44.5 peratus.

Kehadiran tinggi pengundi iaitu hampir 80 peratus daripada sejumlah 192.3 juta pengundi layak di republik itu dikatakan menyumbang margin kejayaan lebih besar untuk beliau.

Majoriti 16.95 juta undi diperolehi Jokowi itu lebih tinggi berbanding Pilpres 2014 iaitu 6.4 juta undi. Ketika itu Jokowi berganding dengan Jusuf Kalla mengalahkan Prabowo yang berpasangan dengan Hatta Rajasa.

Sementara itu, Ketua KPU, Arief Budiman meminta pihak yang tidak berpuas hati supaya memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di Mahkamah Perlembagaan.

“Tuntutan perlu difailkan dalam tempoh tiga hari selepas pengumuman ini, jika tiada, kami akan mengumumkan kemenangan mutlak kepada calon yang menang.

“Jika ada, kami perlu menunggu proses pengadilan Mahkamah Perlembagaan selesai. Majlis mengangkat sumpah Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 dijadual pada 20 Oktober 2019," katanya.

KPU sebelum ini menjangka proses pengiraan undi di 34 wilayah itu selesai pada Rabu atau esok. Pilpres 2019 diadakan pada 17 April lalu.

ARIEF Budiman. - Foto Reuters

Walaupun diselubungi kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kekacauan sebagai reaksi terhadap kiraan akhir, keputusan berkenaan dikeluarkan lebih awal tanpa sebarang notis.

Terdahulu Jokowi diramalkan memenangi pilihan raya berdasarkan keputusan tidak rasmi oleh sejumlah peninjau.

Pencabarnya, Prabowo sebelum ini berikrar untuk mencabar sebarang keputusan yang memihak kepada Jokowi dengan mendakwa wujud penipuan dalam kiraan undi dan memberi amaran, perkara itu akan mencetuskan rusuhan jalanan.

Sejumlah 32,000 pegawai keselamatan sudah dikerah ke seluruh ibu kota ini termasuk di hadapan bangunan KPU yang turut dihadang dengan kawat berduri. - AFP/BERNAMA

Infografik Jokowi menang pilihan raya presiden Indonesia 2019.

Berita Harian X