Rabu, 22 Mei 2019 | 9:58am
POLIS Indonesia mengawal lokasi rusuhan yang berlaku di Jakarta. - Foto AFP

Polis Indonesia tangkap 20 pasca pilihan raya

JAKARTA: Polis Indonesia menangkap sekurang-kurangnya 20 orang yang dituduh mencetuskan rusuhan di ibu kota negara itu susulan keputusan rasmi menunjukkan Joko ‘Jokowi’ Widodo dipilih semula sebagai presiden, kata jurucakap polis hari ini.

Rakaman televisyen hari ini menunjukkan asap kelihatan di belakang puluhan penunjuk perasaan yang menari di atas jalan raya di daerah Tanah Abang di tengah Jakarta.

Kumpulan berasingan di depan badan pemantau pilihan raya membaling batu ke arah polis.

Bantahan yang bermula secara aman semalam bertukar ganas pada waktu petang, memaksa polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Kereta yang diletakkan berhampiran pangsapuri briged bergerak polis dibakar, lapor media.

“Sehingga kini, polis menangkap lebih 20 yang menjadi penghasut rusuhan dan jenayah lain,” kata jurucakap polis, Dedi Prasetyo.

Prasetro berkata, polis memeriksa laporan kematian tetapi menegaskan pasukan keselamatan termasuk anggota tentera tidak dibekalkan dengan peluru hidup.

Laman web berita, Tirto, melaporkan seorang lelaki maut terkena tembakan di Tanah Abang, memetik kenyataan doktor di hospital berhampiran.

Pihak berkuasa Indonesia berkata, 40,000 anggota polis dan tentera bertugas di seluruh Jakarta dan usaha mengekalkan keamanan. — Reuters

Berita Harian X