Khamis, 23 Mei 2019 | 7:17am
Penunjuk perasaan Indonesia bertembung dengan polis di luar bangunan Bawaslu di Jakarta, semalam. -Foto EPA

6 maut, rusuhan tercetus di Indonesia bantah kemenangan Jokowi

JAKARTA: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh ketika keganasan meletus di ibu kota Indonesia di sini apabila polis bertembung dengan penunjuk perasaan yang membantah pemilihan semula Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Siren polis dibunyikan apabila pertembungan baharu meletus malam tadi ketika ribuan penunjuk perasaan berarak dan mengibarkan bendera Indonesia di tengah ibu kota.

Sesetengah membaling batu dan mercun ke arah polis rusuhan yang berbaris di belakang penghadang kawat besi berhampiran bangunan Lembaga Pengawal Selia Pilihan Raya (Bawaslu).

Tindakan polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan menyebabkan kumpulan perusuh terpaksa berundur.

Sekurang-kurangnya tiga pegawai polis cedera dalam pertembungan itu, kata wartawan AFP di tempat kejadian.

Terdahulu, puluhan penunjuk perasaan ditahan dan sebahagian ibu kota ini dipenuhi serpihan dan kereta terbakar ketika keganasan menyebabkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Australia mengeluarkan nasihat keselamatan.

Pihak berkuasa juga menyekat akses ke beberapa media sosial dalam usaha menghentikan penyebaran khabar angin dan berita palsu daripada merebak dalam talian.

Ketua polis nasional, Tito Karnavian berkata, enam orang maut namun menafikan pihak berkuasa melepaskan peluru hidup ke arah penunjuk perasaan sambil menggesa semua pihak bertenang.

“Sesetengah yang maut mengalami kecederaan akibat tembakan, sesetengah akibat hentakan benda tumpul namun kami perlu menjelaskan situasi ini,” katanya kepada media.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan berkata, kira-kira 200 orang cedera.

Keganasan meletus selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) pada Selasa mengesahkan Jokowi mengalahkan jeneral bersara Prabowo Subianto dalam pilihan raya presiden diadakan pada 17 April lalu.

Prabowo berkata, beliau akan mencabar keputusan itu di mahkamah, seperti mana dilakukannya pada 2014 namun tidak berjaya, sambil memberi amaran dakwaan penipuan meluas berpotensi mencetuskan bantahan jalanan.

Pihak berkuasa menyalahkan keganasan itu terhadap ‘pencetus provokasi’ berbayar, memetik sampul surat berisi wang dikatakan ditemui pada 257 penunjuk perasaan yang ditahan.

Pertembungan awal pagi bermula selepas ribuan penyokong Prabowo berhimpun secara aman malam Selasa lalu. -AFP


Polis menyuraikan penunjuk perasaan di Tanah Abang, Indonesia, semalam. -Foto Reuters

Berita Harian X