Khamis, 23 Mei 2019 | 8:47am
PENUNJUK perasaan Indonesia bertembung dengan polis di luar bangunan Bawaslu di Jakarta. - Foto EPA

Perusuh, polis Indonesia bertempur malam kedua rusuhan

JAKARTA: Pertempuran antara pasukan keselamatan Indonesia dan penunjuk perasaan yang marah dengan keputusan pilihan raya presiden bulan lalu berlanjutan malam kedua semalam, menjadikan ibu kota negara itu sebagai medan gas pemedih mata, peluru getah, batu dan mercun.

Penunjuk perasaan mengorek jalan berturap, memusnahkan papan tanda jalan dan membakar gerai makanan dan pos keselamatan tetapi bilangan semakin sedikit apabila malam semakin lewat.

Televisyen menunjukkan puluhan polis pencegah rusuhan cuba tidur di jalan raya yang ditaburi sampah.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, berkata enam maut pada malam pertama rusuhan, yang bertumpu di Tanah Abang.

Agensi berita Antara melaporkan tiga hospital merawat lebih 350 yang cedera.

Rusuhan itu susulan pengumuman Selasa lalu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) yang mengesahkan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo mengalahkan pencabarnya, bekas jeneral Prabowo Subianto, dalam pilihan raya 17 April lalu.

Jokowi memperoleh lebih 85 juta daripada 154 juta undi tetapi Prabowo mendakwa berlaku penipuan besar-besaran dan enggan mengaku kalah.

Agensi pemerhati pilihan raya berkata, tiada bukti mengenai penipuan sistematik dan pemantau bebas berkata pilihan raya itu bebas dan adil. -Reuters

Berita Harian X