Jumaat, 24 Mei 2019 | 9:45am
Bangunan Mahkamah Perlembagaan Indonesia di tengah Jakarta. -Foto Antara

Prabowo lantik peguam, fail tuntutan di mahkamah hari ini

JAKARTA: Adik kepada calon presiden, Prabowo Subianto, Hashim Djojohadikusumo, dilantik untuk mewakili gandingan beliau dan Sandiaga Uno untuk memfailkan tuntutan di Mahkamah Perlembagaan bagi mencabar keputusan pilihan raya presiden.

“Hashim Djojohadikusumo dilantik untuk mengetuai barisan peguam kami. Esok (Jumaat) sebelum tarikh akhir, pasukan peguam akan memfailkan tuntutan di Mahkamah Perlembagaan,” kata Sandiaga semalam.

Bercakap di kediaman Prabowo di Jalan Kertanegara 1V, Sandiaga dipetik Antara News berkata, tuntutan itu adalah langkah diambil pihaknya bagi memastikan ia sejajar dengan hala tuju perlembagaan.

Gandingan Prabowo-Sandi mengumumkan pasukan peguam yang mewakili mereka di Mahkamah Perlembagaan hari ini, menambah, peranan peguam kanan Otto Hasibuan dalam pasukan itu juga akan didedahkan hari ini.

Jurucakap penyelaras kem Prabowo-Sandi, Dahnil Anzar Simanjuntak terdahulu berkata, pasukan peguam kumpulan itu akan terdiri daripada Rikrik Rizkian, Bambang Widjojanto, Irman Putra Sidin dan Denny Indrayana.

Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) mengumumkan keputusan akhir pilihan raya parlimen dan presiden, memperincikan kejayaan gandingan Joko ‘Jokowi’ Widodo dan Ma’ruf Amin awal Selasa lalu.

Keputusan kiraan akhir diumumkan KPU sekitar jam 1.28 pagi menunjukkan gandingan Jokowi-Ma’ruf memperoleh 85 juta undi atau 55.5 peratus undian nasional berbanding pencabarnya Prabowo-Sandi yang memperoleh 68 juta undi atau 44.5 peratus.

Jokowi-Ma’ruf mengisytiharkan kemenangan mereka sementara pencabarnya menolak keputusan rasmi KPU serta berikrar mencabarnya dengan memfailkan aduan rasmi di Mahkamah Perlembagaan.

Kem Prabowo-Sandi mendakwa penipuan besar-besaran berlaku ketika pilihan raya presiden sekali gus mencetuskan bantahan besar-besaran penyokong mereka.

Ketegangan meletus menjurus kepada rusuhan di kawasan Tanah Abang di Tengah Jakarta bermula malam Selasa sehingga Rabu.

Rusuhan pasca pilihan raya itu meragut lapan nyawa dan mencederakan lebih 700 perusuh, kata Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

Sementara itu, laporan akhbar The Jakarta Post menyebut, beberapa parti politik memfailkan tuntutan berhubung pilihan raya umum terbaharu sejak Mahkamah Perlembagaan terbuka menerima sebarang aduan, namun tiada laporan setakat ini berkaitan pilihan raya presiden.

“Tarikh akhir penghantaran laporan berkaitan pertembungan pilihan raya ialah 1.46 pagi Jumaat sementara tarikh akhir untuk tuntutan berkaitan pilihan raya presiden ialah sehingga tengah malam Jumaat,” kata jurucakap mahkamah, Fajar Laksono, semalam.

Mahkamah membuka penyerahan tuntutan berkaitan keputusan pilihan raya presiden sejak semalam dan untuk pilihan raya perundangan sejak Rabu.

Sehingga tengah hari semalam, mahkamah hanya menerima 10 tuntutan berkaitan pilihan raya perundangan difailkan beberapa parti iaitu, Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Partai Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Hanura, Partai Demokratik dan Partai Aceh serta calon Majlis Perwakilan Serantau Maluku Utara, Ikbal Hi Djabid.

Fajar berkata, PKS menghantar laporan berhubung pertelingkahan di beberapa wilayah iaitu Kalimantan Barat, Sumatea Utara, Gorontalo, Kalimantan Selatan dan Maluku.

Sementara tuntutan difailkan Hanura dan Demokrat berkaitan pertelingkahan di Jawa Tengah dan PKB di Jawa Timur.

Pada Selasa lalu, pasukan kempen Prabowo berkata, ia akan memfailkan tuntutan bagi mencabar pengumuman rasmi KPU berhubung kejayaan Jokowi, selepas mengatakan sebelum itu ia tidak akan membawa tuntutan ke mahkamah.

Prabowo mendakwa berlaku penyelewengan dalam kiraan undi KPU dan menuduh kerajaan melakukan penipuan besar-besaran dan sistematik sejak hari pengundian, 17 April.

Bagaimanapun, Agensi Pengawal Selia Pilihan Raya (Bawaslu) menolak laporan difailkan pasukan kempen Prabowo Isnin lalu, yang menuduh kem Jokowi melakukan pelanggaran kempen secara ‘berstruktur, sistematik dan besar-besaran.’

Jika tiada kes perundangan difailkan, KPU secara rasmi menamakan gandingan Jokowi dan Ma’ruf sebagai presiden dan naib presiden dipilih untuk penggal pemerintahan 2019-2024 hari ini. -Agensi


Kem Prabowo-Sandi lantik adik beliau, Hashim Djojohadikusumo untuk mewakili pasangan itu untuk memfailkan tuntutan di Mahkamah Perlembagaan hari ini. -Foto Agensi

Berita Harian X