Rabu, 29 Mei 2019 | 12:46pm
Penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Jakarta, Indonesia pada 22 Mei lalu. Foto Reuters

Jalan utama di Jakarta dibuka semula

Jakarta: Jalan raya utama di bandar raya ini kembali sibuk, sebaik sahaja ia dibuka semalam, selepas ditutup seminggu, susulan tunjuk perasaan oleh penyokong calon presiden, Prabowo Subianto, yang bertukar ganas pada 21 dan 22 Mei lalu.

Rusuhan berlaku di luar pekarangan Agensi Pemantau Pilihan Raya (BAWASLU) di Jalan MH Thamrin di Jakarta Tengah pada malam 21 Mei lalu, sebelum merebak ke kawasan berhampiran seperti Tanah Abang dan Slipi di Jakarta Barat.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, berkata lapan mangsa terbunuh, manakala ratusan lagi cedera, termasuk wartawan dan pekerja kemanusiaan dalam rusuhan berkenaan.

Menurut Jakarta Post, kejadian itu juga memaksa pihak berkuasa menutup beberapa bahagian jalan di Jakarta Tengah, antaranya Jalan MH Thamrin, Jalan Medan Merdeka Barat, Jalan Medan Merdeka Utara, Jalan Majapahit.

Kesemua jalan itu, terletak berhampiran Istana Presiden dan bangunan Mahkamah Perlembagaan.

Yang turut ditutup, Jalan Imam Bonjol, iaitu lokasi menempatkan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU).

Selain itu, aliran trafik di sekitar Dewan Perwakilan turut dilencongkan.

“Kesemua jalan sudah dibuka semula semalam,” kata ketua penguatkuasa cawangan trafik Polis Jakarta, Komander Muhammad Nasir yang dipetik kompas.com semalam.

Bagaimanapun, katanya, hanya dua laluan di Jalan MH Thamrin dibuka semula, kerana pihak polis perlu menempatkan penghadang konkrit di hadapan bangunan BAWASLU.

Insiden pada 22 Mei lalu, turut memaksa beberapa bangunan dan premis perniagaan di sekitar kawasan terbabit, menutup operasi berikutan bimbang mengenai soal keselamatan.

Beberapa pusat beli belah utama seperti Sarinah, Plaza Indonesia dan Grand Indonesia, selain Tanah Abang turut terjejas, hingga memaksa mereka menutup operasi selama beberapa hari dan kerugian dianggarkan bernilai lebih Rp1 trilion (RM290.94 juta). - Agensi

Berita Harian X