Ahad, 23 Jun 2019 | 8:37am
Myanmar mengarahkan penutupan internet di Rakhine dan Chin. -Foto Agensi
Myanmar mengarahkan penutupan internet di Rakhine dan Chin. -Foto Agensi

Myanmar arah telco tutup internet di Rakhine, Chin

YANGON: Pihak berkuasa Myanmar mengarahkan syarikat telekomunikasi menutup perkhidmatan internet di negeri barat negara itu yang dilingkari konflik, kata pengendali utamanya semalam, di tengah ketegangan meningkat rantau terbabit.

Telenor Group berkata, Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi mengarahkan semua syarikat telekomunikasi menggantung seketika perkhidmatan internet di sembilan bandar di Rakhine dan Chin, memetik ‘gangguan keamanan dan penggunaan aktiviti internet bagi menyelaraskan aktiviti haram.’

Dalam sidang media semalam, seorang jurucakap tentera, Brig Jeneral Zaw Min Tun berkata, pihaknya tiada maklumat mengenai penutupan itu.

“Kami tidak melakukannya. Kami tidak tahu mengenainya,” kata Zaw Min Tun.

Penutupan itu berkuatkuasa lewat kelmarin, kata kenyataan Telenor.

“Telenor Myanmar diminta menjelaskan lanjut berhubung alasan penutupan dan menegaskan, kebebasan bersuara menerusi akses perkhidmatan telekomunikasi perlu dikekalkan untuk tujuan kemanusiaan,” katanya.

Seorang pembuat dasar dari bandar Mrauk-U di tengah Rakhine, Tun Ther Sein, memberitahu Reuters, sambungan internet amat lambat selama dua hari sebelum terputus kelmarin. -Reuters

Berita Harian X