Isnin, 22 Julai 2019 | 4:17pm
Kerajaan baharu Thailand menjadikan usaha membangunkan industri perubatan ganja sebagai antara dasar utama. - Foto hiasan

Perubatan ganja antara keutamaan kerajaan baharu Thai

BANGKOK: Kerajaan baharu Thailand menjadikan usaha membangunkan industri perubatan ganja sebagai antara dasar utama, menurut dokumen yang disiarkan sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Perdana Menteri Thai, Prayuth Chan-ocha, dijangka menetapkan dasar itu untuk dibahaskan di Parlimen Khamis ini.

Dokumen dasar itu disiarkan semalam.

Membangunkan industri perubatan ganja adalah tuntutan utama parti Bhumjaithai, antara yang terbesar dalam gabungan 19 parti dipimpin Prayuth.

“Kajian dan pembangunan teknologi ganja dan herba perubatan lain perlu dipercepat untuk industri perubatan untuk menghasilkan peluang ekonomi dan pendapatan kepada rakyat,” menurut dokumen dasar itu.

Thailand, yang menggunakan ganja secara tradisi untuk melegakan kesakitan dan keletihan, meluluskan bahan itu untuk kegunaan perubatan dan penyelidikan tahun lalu.

Pemimpin parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul, berkata matlamatnya adalah untuk membolehkan semua rakyat Thai menanam ganja untuk menghasilkan pendapatan.

Anutin memberitahu media tempatan adalah penting untuk mengeluarkan ganja dengan paras tinggi cannabidiol (CBD) daripada senarai dadah terlarang untuk penanaman dan kemudian memberi kebebasan kepada hospital untuk menetapkan ubat mengandungi sebatian kimia.

Senarai keutamaan lain kerajaan adalah menangani kemarau, buruh dan masalah ekonomi. —

Berita Harian X