Jumaat, 2 Ogos 2019 | 1:32pm
Anggota unit Ordinan Pelupusan Bahan Letupan Polis (EOD) sedang memeriksa kawasan insiden letupan di Bangkok, Thailand. Foto Reuters

Prayuth kutuk serangan bom di Bangkok

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha hari ini mengutuk dalang di sebalik siri letupan bom di sekurang-kurangnya tiga lokasi di sini, ketika negara itu menjadi tuan rumah kepada persidangan menteri luar Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN), yang turut disertai negara kuasa dunia.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas insiden letupan yang mencederakan sekurang-kurangnya tiga orang itu.

“Saya mengutuk dalang di sebalik pengeboman pagi ini, sekali gus meragut keamanan dan mencalar imej negara. Saya sudah mengarahkan pihak berkuasa untuk segera melindungi keselamatan orang awam dan mereka yang terjejas,” kata Prayuth.

Terdahulu, Kerajaan Thailand hari ini mengesahkan beberapa insiden letupan kecil berlaku di Bangkok.

Pada masa sama, pihak berkuasa turut menyeru orang ramai supaya tidak panik kerana polis sudah mengetatkan lagi kawalan keselamatan.

“Prayuth sudah dimaklumkan mengenai insiden pengeboman itu dan mengarahkan siasatan segera dijalankan,” kata jurucakap kerajaan, Narumon Pinyosinwat.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan polis, Kolonel Kamtorn Uicharoen, berkata enam letupan bom di tiga lokasi berbeza dilaporkan di sini, hari ini, manakala satu peranti letupan berjaya ditemui sebelum ia meletup.

Kamtorn memberitahu Reuters, tiga bom meletup di kawasan kompleks kerajaan di Chaeng Wattana, namun baki satu lagi bom, gagal meletup.

Katanya, dua lagi bom meletup di kawasan Chong Nonsi.

“Bom yang meletup di dua kawasan ini, adalah peranti letupan yang diubah suai yang dicetuskan oleh pengukur waktu.

“Satu lagi bom meletup di kawasan Suan Luang,” katanya. - Reuters/AFP

Berita Harian X