Selasa, 6 Ogos 2019 | 10:36pm
PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo.
PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo.

Jokowi ugut pecat pegawai gagal padam kebakaran hutan

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo memberi amaran kepada pegawai, mereka akan dipecat jika gagal menangani kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan wilayah Kalimantan di Borneo.

Jokowi berkata, beliau turut menjanjikan dana kerajaan bagi membekalkan peralatan canggih seperti dron untuk membantu menangani kebakaran itu.

“Saya sudah menghubungi komander tentera dan ketua polis memaklumkan tempat mereka akan digantikan jika masih gagal menyelesaikan isu kebakaran hutan dan tanah.

“Jangan memandang rendah titik panas, awalnya ia hanyalah api kecil dan jangan tunggu sehingga ia menjadi lebih besar,” katanya ketika mesyuarat penyelarasan menangani kebakaran hutan di istana presiden, hari ini.

Punca kebakaran dikatakan berlaku apabila petani memulakan pembakaran untuk membersihkan tanah semasa musim kering.

Namun api merebak secara tidak terkawal dan mencetus masalah jerebu sehingga merebak ke negara jiran seperti Singapura dan Malaysia.

Indonesia mencatatkan bilangan titik panas paling tinggi tahun ini sejak kebakaran dahsyat pada 2015 selain berdepan tekanan global untuk menghentikan kaedah tebang dan bakar untuk menanam pokok kelapa sawit dan pulpa.

Kebakaran itu dianggap masalah tahunan ketika musim panas, namun bertambah buruk sejak beberapa minggu lalu.

Jokowi berkata kebakaran pada 2015 menyebabkan kerugian kewangan lebih AS$15.5 bilion (RM62 bilion), membabitkan tanah seluas 2.6 juta hektar.

“Ini tidak harus berlaku lagi,” katanya. -Reuters

Berita Harian X