Jumaat, 9 Ogos 2019 | 8:52pm
FOTO hiasan.

Tukar 'sampah' jadi tiket bas

JAKARTA: Kira-kira 16,000 orang di Surabaya sudah menukar sisa sampah seperti botol dan cawan plastik untuk mendapatkan tiket bas setiap minggu, kata pihak berkuasa tempatan.

Penumpang yang mahu mendapatkan tiket bas untuk perjalanan satu jam tanpa henti perlu menyerahkan tiga botol plastik saiz besar, lima saiz sederhana atau 10 cawan plastik. Semua botol itu perlu dalam keadaan bersih, tanpa memenyekkannya.

Pegawai pengangkutan Surabaya, Franki Yuanus berkata, program itu bertujuan bukan saja untuk mengurangkan sampah tetapi untuk menangani kesesakan lalu lintas dengan menggalakkan orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam.

“Sambutan yang baik daripada orang ramai, membayar dengan plastik adalah satu perkara yang membuatkan orang ramai bersemangat kerana sehingga ke hari ini sisa buangan seperti plastik dilihat tidak berharga,” katanya.

Ketika ini terhadap hampir 20 buah bas baru, setiap satu bas mempunyai tong kitar semula dan pegawai tiket yang berlegar di sekitar kawasan bas untuk mengumpul botol yang ditinggalkan.

Menurut pihak berkuasa ketika ini, kira-kira enam tan sisa buangan plastik dikumpul daripada penumpang setiap bulan sebelum ia dilelong kepada syarikat kitar semula.

Penumpang, Nurhayati Anwar yang menaiki bus setiap minggu bersama anak lelakinya berusia tiga tahun berkata, program pertukaran sampah itu mengubah cara berfikir orang ramai terhadap bahan buangan seperti cawan dan botol.

“Ketika ini orang ramai di pejabat atau rumah berusaha mengumpul sampah daripada hanya membuang begitu saja. Kami sedar plastik tidak bagus untuk alam sekitar, penduduk Surabaya mulai belajar,” katanya. - AFP

Berita Harian X