Jumaat, 9 Ogos 2019 | 8:56pm
Penduduk melihat lubang besar terbentuk di sebatang jalan akibat banjir di Mawlamyein, Mon di timur Myanmar, hari ini. -Foto AFP

13 maut akibat tanah runtuh di Myanmar

YANGON: Satu kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat ketika monsun meragut nyawa sekurang-kurangnya 13 orang dan mencederakan puluhan lain di timur Myanmar kata pihak berkuasa hari ini ketika banjir memaksa puluhan ribu berpindah.

Runtuhan lumpur menenggelamkan 16 rumah dan kuil awal hari ini di perkampungan Thae Pyar Kone di negeri Mon, kata pentadbir daerah Myo Min Tun.

“Setakat ini 13 orang ditemui maut manakala 27 lagi dibawa ke hospital di Mawlamyine (ibu negeri Mon),” katanya kepada AFP menerusi telefon.

Pasukan kecemasan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat sehingga malam ini untuk mencari mangsa terselamat atau mayat.

Pekerja juga cuba membersihkan lebuh raya utama dari Yangon ke Mawlamyine yang ditimpa timbunan tanah setinggi 1.8 meter, kata Myo Min Tun.

Hujan lebat menyebabkan sungai melimpah dari tebing di seluruh negara sementara penduduk di tepi pantai diberi amaran ombak besar.

Imej udara AFP menunjukkan bandar Shwegyin di rantau timur Bago bertukar kepada tasik besar selepas sungai Sittaung melimpah.

Vietnam juga mengalami banjir besar minggu ini apabila sekurang-kurangnya lapan maut di kawasan tanah tinggi tengah negara itu. -AFP

123 dibaca
Berita Harian X