Sabtu, 17 Ogos 2019 | 9:52pm
Gambar hiasan

7 maut feri terbakar di Indonesia

KENDARI: Tujuh orang termasuk dua kanak-kanak maut manakala empat lagi hilang selepas feri membawa puluhan penumpang terbakar di luar pantai pulau Sulawesi Indonesia awal hari ini, kata polis.

Feri itu, dalam perjalanan dari Sulawesi Tenggara ke sebuah pulau di Sulawesi Tengah terbakar sejurus selepas tengah malam.

“Tiba-tiba ada percikan api dalam enjin dan api mula merebak ke bahagian lain bot,” kata jurucakap polis tempatan, Harry Goldenhard dalam satu kenyataan.

Polis mengesyaki kebakaran dicetuskan apabila tangki diesel meletup. Tidak jelas berapa ramai penumpang dalam bot terbabit.

Jumlah penumpang disenaraikan sebanyak 50 orang namun penyelamat dan penduduk tempatan menemukan 61 yang terselamat sementara tujuh orang termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun terbunuh.

Satu pencarian dilancarkan untuk mencari empat penumpang yang dilaporkan hilang.

Pengendali feri di Indonesia kerap dipersalahkan kerana membawa penumpang melebihi muatan. Lebih 160 maut apabila sebuah feri penumpang karam di tasik paling dalam dunia di pulau Sumatera tahun lalu. -AFP

336 dibaca
Berita Harian X