Ahad, 18 Ogos 2019 | 4:29pm
SEORANG pemandu ambulans sukarela terbunuh di kawasan pedalaman di timur laut.

Pemandu ambulans terbunuh, pertempuran sengit di utara Myanmar

YANGON: Seorang pemandu ambulans sukarela terbunuh di kawasan pedalaman di timur laut, dekat sini, ketika pertempuran antara tentera dan pemberontak etnik semakin tegang, lapor media tempatan, hari ini.

Akhbar Global New Light of Myanmar melaporkan, Tun Myint, 58 terbunuh ketika penembak tepat dan kumpulan pemberontak, melancarkan serangan hingga memaksa sebuah ambulans milik kumpulan dermawan sekitar bandar Lashio, berpatah balik seperti dimaklumkan isterinya, Tin Tin.

“Kenderaan itu ditembak ketika mereka cuba berpatah balik daripada misi kerana keadaan pertempuran semakin tegang,” katanya.

Rakaman video yang tidak dapat disahkan, tersebar dalam talian menunjukkan keadaan ambulans terbalik di tepi jalan dan kelihatan petugas berusaha memindahkan mayat ke kenderaan lain.

Tentera Pembebasan Taaung Kebangsaan (TNLA), anggota kumpulan pakatan pemberontak utara berkata, masih tidak dapat dipastikan siapa yang bertanggungjawab melakukan serangan itu.

“Ketika pertempuran semakin tegang, agak sukar untuk menyalahkan sesiapa,” kata jurucakap TNLA, Mai Aik Kyaw kepada AFP.

Menurut media tempatan, pasukan keselamatan Myanmar berusaha membersihkan periuk api berhampiran jambatan termasuk penemuan senjata dengan puluhan alat peledak dan bom tangan.

Wilayah berhampiran sempadan China itu berdepan konflik bersenjata sejak berdekad lama, tetapi keganasan baharu tercetus minggu ini apabila kumpulan pakatan bersenjata melancarkan serangan bersama terhadap akademi tentera dan pos kawasan polis hingga mengorbankan 15 orang.

Tentera mendakwa serangan itu adalah tindak balas terhadap rampasan dadah besar-besaran pada Julai lalu, tetapi sebaliknya pemberontak mengatakan mereka bertindak balas terhadap serangan ketenteraan. - AFP

680 dibaca
Berita Harian X