Sabtu, 7 September 2019 | 5:31pm
Anggota MILF mengawasi dekat Kem Darapanan, di wilayah Sultan Kudarat. - Foto AFP

Pemisah MILF serah senjata

MINDANAO: Pemisah Islam di Filipina mula menyerahkan senjata masing-masing kepada pemerhati luar bebas hari ini.

Ia sebagai sebahagian perjanjian damai bertujuan menamatkan pemberontakan selama beberapa dekad yang meragut kira-kira 150,000 nyawa.

Lebih 1,000 pemisah menyerahkan 940 senjata dalam masa sehari, dalam proses peletakan senjata bertujuan menjadikan pergerakan pemisah terbesar Filipina, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), sebagai parti politik biasa.

Acara itu mewakili langkah pertama simbolik ke arah persaraan seramai 40,000 lagi pemisah MILF pada masa hadapan.

“Perang sudah tamat. Saya tidak memiliki senjata lagi,” kata Paisal Abdullah Bagundang, 56, yang menyertai lebih 100 pertempuran dengan kerajaan sejak 1970-an.

Namun pembubaran pergerakan itu akan mengambil masa untuk menunjukkan kesan di lokasi yang diancam keganasan hampir setiap hari.

Sebutir bom yang disembunyikan dalam sebuah motosikal meletup berhampiran pasar awam di Isulan awal hari ini, beberapa jam sebelum Presiden Rodrigo Deterte menyaksikan majlis penyerahan senjata itu kira-kira 40 kilometer dari situ di Sultan Kudarat, menyebabkan lapan cedera.

“Proses peletakan senjata itu tidak sepatutnya membawa kepada jangkaan ia akan menyebabkan penurunan besar dalam serangan,” kata penasihat kanan konflik bagi Asia di kumpulan pemerhati International Alert, Francisco Lara.

Kira-kira satu pertiga daripada pemisah MILF menyerahkan senjata masing-masing dalam fasa pertama proses peletakan senjata itu.

Setiap seorang daripada mereka akan menerima sejuta peso (RM79,000) dalam bentuk wang tunai, biasiswa, insurans kesihatan dan latihan untuk menjadi orang awam produktif. — AFP

579 dibaca
Berita Harian X