Selasa, 10 September 2019 | 8:32pm

Indonesia tahan 85 berhubung rusuhan di Papua

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menahan 85 orang yang ada kaitan dengan kekecohan membawa maut selama beberapa minggu di Papua, kata polis.

Pada masa sama, Jakarta menuduh pemimpin pemisah dalam buangan mencetuskan rusuhan di wilayah paling timurnya itu.

Puluhan ribu mengadakan tunjuk perasaan di seluruh Papua, ketika kemarahan berhubung rasisme dan desakan untuk pemerintahan sendiri menyemarakkan demonstrasi besar-besaran dan pertempuran ganas dengan pasukan keselamatan.

Secara rasmi, lima penunjuk perasaan dan seorang anggota tentera maut, tetapi aktivis berkata angka kematian penduduk awam lebih tinggi.

Jakarta menyekat perkhidmatan internet di Papua, menyukarkan usaha mengesahkan maklumat secara bebas.

Larangan itu ditarik balik beransur-ansur walaupun ia masih kekal di beberapa bandar raya.

Warga asing turut dilarang memasuki wilayah itu atas sebab keselamatan.

Polis Indonesia berkata, mereka menahan 85 orang di Papua sejak kekecohan meletus pada pertengahan Ogos dan memburu 20 suspek lagi.

Pihak berkuasa menangkap suspek di tempat lain di negara itu dan mengeluarkan waran tangkap bagi peguam terkemuka Indonesia dan aktivis hak Papua berhubung dakwaan beliau menyebarkan berita palsu mengenai kekecohan di akaun media sosialnya.

Pihak berkuasa juga menuding jari ke arah pengerusi Kesatuan Pergerakan Pembebasan Papua Barat (ULMWP), Benny Wenda, berkata ia menyemarakkan rusuhan untuk menarik perhatian dunia kepada desakan baru bagi pilihan raya pembebasan. — AFP

221 dibaca
Berita Harian X