Jumaat, 4 Oktober 2019 | 6:52pm
Jutawan Thailand, Thanathorn Juangroongruangkit, pemimpin Parti Masa Depan ketika bertemu penyokongnya di Pejabat Peguam Negara di Bangkok 27 Februari lalu. -Foto AFP

6 pemimpin pembangkang Thailand dituduh menghasut

BANGKOK: Tentera Thailand memfailkan tuduhan menghasut ke atas enam pemimpin parti pembangkang utama yang berdebat terhadap cadangan pemindahan kuasa kepada wilayah selatan bergolak negara itu dalam usaha menamatkan keganasan.

Lebih 7,000 orang terbunuh dalam tempoh 15 tahun keganasan di wilayah Selatan Thailand bersempadan Malaysia.

Pemisah mahu autonomi lebih besar untuk rantau Melayu Islam diduduki Thailand yang majoriti beragama Buddha lebih 100 tahun lalu.

Namun tuntutan itu menaikkan kemarahan nasionalis Thailand dan kerajaan enggan tunduk kepada mana-mana pengagihan kuasa dalam rundingan damai.

Satu seminar Sabtu lalu, diadakan di Pattani dan dihadiri golongan akademik dan ahli politik pembangkang diketuai jutawan radikal Thanathorn Juangroongruangkit, membincangkan kemungkinan meminda perlembagaan Thailand yang dirangka tentera.

Tentera memfailkan tuntutan itu selepas perdebatan yang turut mencari jalan menamatkan keganasan di Selatan Thailand serta memindahkan sesetengah kuasa, disiarkan dalam talian.

“Sebahagian perdebatan mengandungi fakta memesong yang mungkin menjurus kepada huru-hara, keingkaran umum atau malah rusuhan dalam pentadbiran diraja,” kata seorang pakar perundangan tentera, Burin Thongpraphai kepada AFP selepas tuduhan menghasut difailkan.

Kesalahan kerana menghasut membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Lima lagi pemimpin blok pembangkang Thailand antara yang didakwa serta beberapa ahli akademik.

Seorang daripada yang didakwa, Paradorn Pattanathabut anggota parti anti-junta, Pheu Thai berkata, tindakan itu menunjukkan kekangan berterusan ‘kebebasan bersuara’ walaupun tamatnya pemerintahan junta secara rasmi.

Pemimpin Parti Masa Depan, Thanathorn mengejutkan pemantau apabila muncul di tempat ketiga dalam pilihan raya Mac lalu, disokong jutaan undian golongan alaf baharu dan agenda radikal anti-tentera.

Partinya mengetuai gesaan supaya perlembagaan dipinda bagi mengekang pengaruh tentera namun beliau sendiri berdepan kes perundangan.

Thanathorn juga mungkin diharamkan daripada terbabit dalam politik dan dipenjarakan jika didapati bersalah memiliki pegangan dalam syarikat media ketika bertanding. -AFP

Berita Harian X