Sabtu, 5 Oktober 2019 | 6:48pm

Hakim tembak diri, siar kenyataan di Facebook

BANGKOK: Seorang hakim di Thailand menembak dirinya di hadapan mahkamah yang sesak dengan orang ramai selepas membebaskan beberapa suspek kes pembunuhan dan menafikan sistem kehakiman kerajaan dalam kenyataan siaran langsungnya menerusi ‘Facebook Live’.

Hakim mahkamah Yala, di selatan Thailand, Kanakorn Pianchana mengumumkan keputusan terhadap lima suspek kes bunuh bersenjata, sebelum kejadian itu petang semalam.

Dia membebaskan kumpulan itu, menyampaikan permohonan pengadilan untuk sistem pengadilan yang telus, sebelum bertindak mengeluarkan pistol lalu melepaskan tembakan ke dadanya.

“Anda memerlukan bukti yang jelas dan boleh dipercayai untuk menghukum seseorang. Jika andai tidak pasti, jangan menghukum mereka,” kata hakim itu ketika bercakap di mahkamah dan menyiarkan kenyataannya itu secara langsung menerusi Facebook Live.

Katanya, dia tidak mengatakan kelima-lima defendan itu tidak melakukan jenayah, mereka mungkin melakukannya..tetapi proses penghakiman perlu telus dan boleh dipercayai, menghukum orang yang salah menjadikan mereka ‘kambing hitam’.

Siaran langsung di Facebook itu kemudian di padamkan, tetapi saksi memberitahu, Kanakorn bersumpah di hadapan gambar bekas raja Thailand, sebelum menembak dirinya.

“Dia sedang dirawat oleh doktor dan terselamat daripada bahaya. Dia menembak dirinya kerana ‘tekanan peribadi’ tetapi punca tekanan itu tidak pasti dan akan disiasat,” kata jurucakap Pejabat Kehakiman, Suriyan Hongvilai kepada AFP, hari ini.

Menurut Suriyan, setakat ini tidak ada hakim di Thailand pernah melanggar protokol dengan membuat kenyataan serupa berhubung sistem keadilan yang lebih luas. - AFP

Berita Harian X