Selasa, 8 Oktober 2019 | 10:44pm
Sepanjang pemerintahan 20 tahunnya, Marcos, keluarga dan kroninya mengumpul kekayaan dianggarkan berjumlah AS$10 bilion (RM41.9 bilion), menurut penemuan satu suruhanjaya diwujudkan selepas pengusirannya dalam satu kebangkitan awam disokong tentera pada 1986. -Foto Agensi

Mahkamah Filipina tolak permohonan kerajaan rampas harta Marcos

MANILA: Mahkamah anti-rasuah Filipina menolak usaha mendapatkan jutaan dolar dalam bentuk hasil seni, hartanah dan pelaburan daripada keluarga dan sekutu mendiang Ferdinand Marcos, mengatakan kerajaan gagal membuktikan kesnya.

Kerajaan mendakwa, Marcos dan isterinya, Imelda, memperoleh hasil seni mahal, barang kemas, hartanah dan pegangan dalam perniagaan dengan bantuan seorang bekas pegawai kerajaan dan pemimpin perniagaan.

Sepanjang pemerintahan 20 tahunnya, Marcos, keluarga dan kroninya mengumpul kekayaan dianggarkan berjumlah AS$10 bilion (RM41.9 bilion), menurut penemuan satu suruhanjaya diwujudkan selepas pengusirannya dalam satu kebangkitan awam disokong tentera pada 1986.

“Kerajaan ‘gagal membuktikan dengan bukti yang ada’ bahawa Marcos dan sekutunya bersubahat untuk mendapatkan kekayaan haram,” kata mahkamah Sandiganbayan dalam satu keputusan 25 September lalu namun didedahkan kepada umum hari ini.

Pemangku ketua agensi kerajaan yang kalah kes mahkamah terbabit enggan mengulas kerana mereka tidak melihat keputusan penuh, lapor saluran berita ANC.

Tujuh defendan dalam kes itu termasuk Imelda yang ketika ini berkhidmat sebagai anggota kongres, seorang bekas pegawai kerajaan dan pemimpin perniagaan yang ada hubungan dengan pasangan terbabit.

“Terdapat bukti tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa defendan bertindak sebagai boneka, calon atau ejen defendan Marcos untuk memperoleh hasil seni, pakaian, barang kemas atau hartanah bernilai bilion peso,” kata mahkamah.

Peguam Imelda enggan mengulas, mengatakan beliau perlu bercakap dengan anak guamnya terlebih dulu.

Selepas Marcos mati dalam buangan tiga tahun selepas digulingkan, Imelda berdepan ratusan kes untuk memperoleh semula aset dipercayai disimpan di luar negara dan Filipina. -Reuters

Berita Harian X