Jumaat, 11 Oktober 2019 | 3:34pm
Presiden Indonesia, Joko Widodo pada sidang media di hospital tentera Gatot Subroto di Jakarta, semalam. Foto Reuters

Presiden Indonesia arah kawalan keselamatan diperketat

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo, berkata beliau sudah mengarahkan kawalan keselamatan ke atas pegawai kanan kerajaan dipertingkatkan, iaitu sehari selepas seorang lelaki disyaki militan Daesh, menikam Menteri Hal Ehwal Keselamatan, Perundangan dan Politik, Wiranto.

Kejadian itu berlaku ketika Wiranto sedang mengadakan sesi pertemuan dengan penduduk di sebuah wilayah.

Indonesia, iaitu sebuah negara majoriti penganut Islam terbesar di dunia, ketika ini sedang bergelut dengan pemberontakan puak militan, dan ratusan suspek sudah ditahan mengikut undang-undang anti pengganas sejak awal 2019.

Wiranto, 72, sudah menjalani pembedahan di Jakarta selepas ditikam pada bahagian perut dalam serangan itu, iaitu selepas beliau merasmikan pembukaan sebuah bangunan universiti di Pandeglang.

Beliau adalah ahli politik kanan pertama yang diserang dalam tempoh beberapa tahun dan Joko Widodo atau Jokowi, berkata kejadian ia sepatutnya menjadi yang terakhir untuk berlaku.

“Walaupun, kita sudah mengambil langkah keselamatan sewajarnya, ia perlu diperketatkan supaya apa yang berlaku kepada Wiranto, tidak berulang lagi.

“Beliau (Wiranto) semakin sembuh, dan mampu berkomunikasi dengan saya,” kata Jokowi kepada wartawan selepas mengunjungi Wiranto di hospital.

Serangan itu berlaku beberapa hari, sebelum Jokowi bakal mengangkat sumpah sebagai presiden bagi penggal kedua pada 20 Oktober ini.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita, disyaki pasangan, selain merampas senjata tajam yang dibawa, termasuk pisau serta gunting.

Ketua agensi risikan utama Indonesia, Budi Gunawan, berkata suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Jamaah Ansharut Daulah (JAD). - Reuters

Berita Harian X