Sabtu, 12 Oktober 2019 | 8:28pm
Penduduk kampung dan pegawai maritim memeriksa ikan paus yang terdampar di pantai Kolo Udju di Kampung Menia, Nusa Tenggara Timur. Foto AFP
Penduduk kampung dan pegawai maritim memeriksa ikan paus yang terdampar di pantai Kolo Udju di Kampung Menia, Nusa Tenggara Timur. Foto AFP

Bangkai tujuh ikan paus ditemui di pantai Indonesia

KUPANG: Bangkai tujuh ikan paus pandu ditemui di pantai timur Indonesia, selepas pihak berkuasa menerima laporan bahawa 17 ekor haiwan itu terdampar di kawasan pedalaman.

Bagaimanapun, hasil usaha penduduk berhampiran Kampung Menia semalam, berjaya menyelamatkan 10 ikan paus terbabit, yang berukuran antara tiga hingga empat meter panjang.

“Terdapat beberapa kesan luka pada badan ikan paus itu akibat bergesel dengan batu,” kata ketua agensi pemuliharaan marin tempatan, Ikram Sangaji kepada AFP.

Beliau berkata, kecederaan itu menunjukkan ikan paus terbabit tidak dikendalikan dengan baik, ketika operasi menyelamatkan mereka dijalankan.

Sangaji juga berkata, enam bangkai ikan paus itu ditanam dalam satu operasi tradisional, manakala seekor lagi dilapah penduduk kampung untuk mendapatkan dagingnya.

Dalam pada itu, pegawai tempatan turut mengambil sampel bangkai ikan paus pandu berkenaan, bagi menyiasat punca kematian dan faktor yang menyebabkan mereka terdampar di kawasan terbabit.

Menurut Sangaji, pada 2012 lebih 40 ikan paus ditemui terdampar di pantai Kolo Udju di Kampung Menia, Nusa Tenggara Timur.

“Keadaan arus silang di kawasan pantai boleh menimbulkan keadaan bahaya kepada ikan paus, kerana haiwan itu mudah terperangkap antara terumbu karang ketika berlakunya ombak besar,” katanya. - AFP

Berita Harian X