Isnin, 14 Oktober 2019 | 7:27pm
VIETNAM mengharamkan tayangan filem animasi berjudul ‘Abominable’. - Foto AFP

Filem animasi Abominable diharamkan di Vietnam

HANOI: Vietnam mengharamkan tayangan filem animasi berjudul ‘Abominable’ selepas ia memaparkan kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan yang turut dituntut Beijing, kata media rasmi hari ini.

China sejak sekian lama, membuat tuntutan di Laut China Selatan berdasarkan ‘nine-dash line’ yang tidak diiktiraf ASEAN termasuk Hanoi.

Filem yang dikenali sebagai ‘Everest: The Little Snowman’ di Vietnam itu mengisahkan mengenai seorang remaja China yang membantu makhluk mitos dikenali sebagai Yeti untuk kembali ke kampung halamannya di Gunung Everest.

Media rasmi berkata, filem yang dibuka pada 4 Oktober lalu itu tidak lagi ditayangkan di Vietnam.

“Saya akan bertanggungjawab di atas kesilapan itu,” kata Ketua Jabatan Perfileman Vietnam, Nguyen Thu Ha.

Ha berkata beliau akan mengingatkan jabatannya untuk lebih berhati-hati dan lebih bijak pada masa akan datang.

Imej ‘nine-dash line’ yang tersebar di media sosial hari ini itu turut membangkitkan kemarahan netizen.

“Tolong pecat individu yang bertanggungjawab menapis filem ini,” kata seorang pengguna Facebook, Pham Tan Phong.

“Kami tidak dapat menerima tindakan semberono ini, terutama yang membabitkan perkara sensitif seperti pertikaian laut semasa,” kata satu lagi komen.

Jabatan Penapisan Vietnam dan DreamWorks enggan mengulas lanjut isu itu ketika cuba dihubungi media hari ini.

‘Abominable’ adalah filem hasil kerjasama di antara DreamWorks dan Pearl Studio, China. - AFP

Berita Harian X