Ahad, 27 Oktober 2019 | 9:19am
BAPA kepada Nguyen Dinh Luong, Nguyen Dinh Gia ketika ditemui di rumahnya di daerah Can Loc, Vietnam. - Foto EPA

Rakyat Vietnam antara dikhuatiri maut dalam trak sejuk beku

NGHE AN (VIETNAM) : Rakyat Vietnam dikhuatiri adalah antara 39 individu ditemui maut dalam sebuah trak sejuk beku di Britain minggu ini, kata ahli keluarga dan wakil masyarakat setempat, selepas tragedi yang mendedahkan risiko terpaksa dihadapi pendatang tanpa izin ke Eropah.

Menurut polis British, siasatan awal mendapati kesemua 31 lelaki dan lapan mayat wanita yang ditemui dalam sebuah lori di kawasan perindustrian Essex minggu lalu adalah rakyat China.

Namun beberapa keluarga Vietnam tampil dan memberitahu kehilangan ahli keluarga yang sedang dalam perjalanan ke Britain, destinasi utama pendatang Vietnam dalam usaha mencari kehidupan lebih baik di luar negara.

Kesemua keluarga berkenaan datang dari kawasan miskin dan pedalaman di bahagian tengah Vietnam, lokasi utama untuk pendatang berkumpul sebelum memulakan perjalanan berbahaya ke Eropah, selepas terpengaruh dengan janji manis penyeludup.

Sebahagian besar diseludup menerusi Russia dan China, dengan membayar puluhan ribu dan menggunakan dokumen palsu, sebelum akhirnya terbabit bekerja di ladang ganja atau salon merias kuku.

Lima suspek ditahan setakat ini susulan pembabitan dalam tragedi berkenaan yang juga siasatan pembunuhan terbesar di Britain, dalam tempoh hampir 15 tahun.

Beberapa keluarga semalam memberitahu, mereka bimbang ahli keluarga masing-masing adalah antara yang ditemui mati.

Di wilayah Ha Thinh, bapa kepada Nguyen Dinh Luong, 20, berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki Vietnam di United Kingdom minggu ini yang memberitahu, anak lelakinya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Britain.

“Saya rebah sebaik mendengar berita itu. Beliau dikatakan berada dalam trak berkenaan dan semuanya meninggal dunia,” kata Nguyen Dinh Gia.

Kumpulan komuniti berpangkalan di Britain, VietHome berkata, mereka menerima foto hampir 20 individu yang dilaporkan hilang, berusia antara 15 hingga 45 tahun dan berasal dari Vietnam. - AFP

Berita Harian X