Rabu, 30 Oktober 2019 | 1:02pm
WANNEE Jiracharoenying ditemui mati, disimen dan ditanam di dalam peti sejuk di kediamannya.

Jutawan ditemui mati disimen dalam peti sejuk

CHIANG MAI : Seorang jutawan wanita yang juga ahli perniagaan terkemuka ditemui mati, disimen dan ditanam di dalam peti sejuk di kediamannya.

Pemaju hartanah, Wannee Jiracharoenying, 58 tidak pernah dilihat sejak 18 Oktober lalu selepas melawat sebuah kuil tempatan di Chiang Mai, utara Thailand.

Abangnya, Woraphan Jiracharoenying, 59 yang risau datang ke kediaman adiknya untuk mencari wanita itu, selepas beliau gagal membalas semua mesej dihantar.

Beliau kemudian berdepan penemuan mengejutkan apabila menjumpai mayat adiknya Ahad lalu, dalam keadaan disimen dan ditanam di dalam peti sejuk.

Pihak berkuasa ketika ini menyiasat kematian Wanee sebagai kes pembunuhan dan melancarkan gerakan mencari rakannya yang tidak dapat dikesan sejak kehilangan mangsa dilaporkan.

Menurut polis, mereka turut mengesan sejumlah besar pengeluaran wang dari akaun bank jutawan terbabit manakala kereta dan beberapa kad bank milik beliau turut hilang.

Mereka percaya rakannya yang hanya dikenali sebagai Oom, boleh memberikan maklumat berhubung kematian Wanee, yang sebelum ini banyak memberikan sumbangan serta derma atas tujuan kebajikan.

Mejar Jeneral Polis, Bundit Tungkhaseranee berkata, pihaknya sedang memeriksa pintu masuk sempadan untuk melihat jika suspek sudah melarikan diri ke luar negara.

“Kami sudah menghubungi bank dan mendapati sejumlah besar wang dari akaun mangsa sudah dikeluarkan oleh seseorang.

“Pada hari ahli keluarga mangsa terputus hubungan dengannya, suspek mengeluarkan sejumlah wang dari mesin ATM di Chiang Mai, Chiang Rai dan Mae Hong Son.

“Sehingga kini sejumlah 1.2 juta baht (RM166,675) sudah dikeluarkan dari akaun mangsa,” katanya.

Katanya, maklumat terkini diterima menyatakan bahawa suspek sekali lagi membuat pengeluaran wang di Rayong dan mesin ATM digunakan berjaya merakam sebahagian wajah lelaki itu,

Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Maharat Chiang Mai untuk proses bedah siasat. - Agensi

Berita Harian X