Khamis, 31 Oktober 2019 | 5:23pm
Seorang pakar politik Islam di Universiti Islam Syarif Hidayatullah di sini, Ali Munhanif memberi amaran, gesaan melaksanakan pelancongan halal di kawasan dengan minoriti agama termasuk Kristian, Buddha dan Hindu mungkin memberi lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. -Foto Agensi

Cadangan perkenal pelancongan halal Indonesia disambut hambar

MUARA: Cubaan Indonesia untuk menarik lebih ramai pelancong dengan mempromosi pelancongan halal di seluruh kepulauan itu berdepan halangan apabila penduduk Kristian menyambut pesta babi di Sumatera.

Festival hujung minggu yang dianggap bantahan itu memaparkan perlumbaan babi, pertandingan babi paling gemuk dan pertunjukan fesyen dilakukan ketika pusat peranginan Bali menolak memperkenalkan perkhidmatan mesra Muslim di pulau majoriti beragama Hindu itu.

Pengkritik berkata, pelan kerajaan untuk memperkenalkan pelancongan halal, sebahagian kempen meluas untuk mencontohi kejayaan Bali, adalah satu lagi ancaman kepada hak minoriti di negara majoriti penduduk Islam itu.

Pengkritik juga memberi amaran, negara berselerak dengan 260 juta penduduk itu di mana hampir 90 peratus beragama Islam, mengambil pendekatan tegar apabila seorang ulama konservatif dipilih sebagai Naib Presiden selain kumpulan agama kini semakin lantang.

Seorang pakar politik Islam di Universiti Islam Syarif Hidayatullah di sini, Ali Munhanif memberi amaran, gesaan melaksanakan pelancongan halal di kawasan dengan minoriti agama termasuk Kristian, Buddha dan Hindu mungkin memberi lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

“Fenomena itu memberi isyarat usaha untuk mewujudkan konservatisme. Bali berjaya menguruskan sektor pelancongannya tanpa menggunakan satu label ‘Hindu’,” katanya.

Namun penyokong mengatakan pelancongan halal disalahertikan.

“Ada salah tafsiran di kalangan orang awam bahawa pelancongan halal ialah Islamisasi. Itu salah dan sebab itulah mengapa sesetengah orang menentang konsep berkenaan.

“Ia sebenarnya mengenai menyediakan kemudahan diperlukan buat pelancong Islam seperti bilik solat. Justeru ia satu kemudahan berbanding Islamisasi,” kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Zainut Tauhid.

Pandangan itu tidak dikongsi sesetengah penduduk yang mendiami sekitar Danau Toba, tasik buatan cantik di Sumatera di mana festival babi diadakan hujung minggu lalu.

Festival Babi di Danau Toba, Muara, Sumatera baru-baru ini. Festival hujung minggu yang dianggap bantahan itu memaparkan perlumbaan babi, pertandingan babi paling gemuk dan pertunjukan fesyen dilakukan ketika pusat peranginan Bali menolak memperkenalkan perkhidmatan mesra Muslim di pulau majoriti beragama Hindu itu. -Foto AFP

Majoriti penduduk adalah etnik Batak, beragama Kristian yang menjadikan babi masakan tradisi utamanya dengan penternakan haiwan itu menjadi sumber pendapatan penting.

Bulan lalu, pengumuman gabenor wilayah, Edy Rahmayadi untuk meningkatkan sektor pelancongan dengan kemudahan dan perkhidmatan mesra Islam disambut dengan hambar.

Ia termasuk membuka lebih banyak restoran halal dan masjid serta mengharamkan menyembelih babi secara terbuka, dengan gabenor mengatakan amalan itu mungkin membantutkan kedatangan pelancong Islam.

“Idea membawa pelancongan halal akan memecahbelahkan masyarakat. Ia adalah langkah terkebelakang untuk pelancongan di sini,” kata penganjur festival, Togy Simorangkir. -AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X