X
Ahad, 3 November 2019 | 6:19pm
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres (kiri) ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-UN Ke-10 di Bangkok, yang turut dihadiri pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi (kanan). Foto AFP
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres (kiri) ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-UN Ke-10 di Bangkok, yang turut dihadiri pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi (kanan). Foto AFP

PBB gesa Myanmar jamin keselamatan pelarian Rohingya

BANGKOK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa Myanmar memastikan keselamatan pelarian Rohingya, yang ingin pulang ke kampung halaman mereka.

Guterres membuat gesaan itu di hadapan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, lebih dua tahun selepas operasi tentera ke atas etnik minoriti berkenaan.

Insiden keganasan di Rakhine pada 2017, memaksa lebih 740,000 etnik Rohingya melarikan diri, sebahagian besar mendapatkan perlindungan di kem penempatan di Bangladesh.

Namun, pasukan penyiasat PBB menyifatkan insiden di Rakhine itu, sebagai pembunuhan beramai-ramai, ketika Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai warganya.

Terdahulu, Myanmar dilaporkan mengalu-alukan kepulangan etnik Rohingya yang bersetuju dengan status birokrasi sebelum diberi taraf kewarganegaraan penuh, dan tinggal di bawah kawalan ketat pihak berkuasa.

Selain itu, Guterres berkata, Myanmar bertanggungjawab mewujudkan persekitaran kondusif dan selamat sepanjang proses penghantaran pulang pelarian, serta hanya membabitkan mereka yang sukarela berbuat demikian.

Bagaimanapun, Suu Kyi yang turut berada di lokasi ketika Guterres menyampaikan ucapan pada sidang kemuncak pemimpin Asia Tenggara di Bangkok, hanya mendengar gesaan itu tanpa sebarang ekspresi.

Setakat ini, hanya ratusan etnik Rohingya yang sudah kembali ke Myanmar, kerana kebanyakan mereka khuatir akan berdepan lebih banyak penganiayaan di negara itu. - AFP

Berita Harian X