Isnin, 4 November 2019 | 9:15pm
NONG YING (kiri) maut akibat kejutan elektrik apabila kabel koyak digunakan untuk mengecas telefon menyentuh kaki katilnya yang diperbuat daripada besi.

Kabel pengecas telefon bimbit koyak, remaja maut kejutan elektrik

CHAIYAPHUM (THAILAND): Seorang remaja perempuan maut akibat kejutan elektrik apabila kabel koyak digunakan untuk mengecas telefon menyentuh kaki katilnya yang diperbuat daripada besi.

Nong Ying, 17 sedang menggunakan peranti elektronik itu ketika ia sedang dicas, menggunakan kabel terbabit yang dibalut dengan pita pelekat kerana pembalutnya sudah terkoyak.

Kabel berkenaan dikatakan menyentuh kaki katil mangsa dan mendatangkan kejutan elektrik, yang meragut nyawa beliau di kediamannya di Chaiyaphum, timur laut Thailand, Jumaat lalu.

Ibu mangsa, Boonpeng Tuponchai, 47 mendapati mangsa masih terbaring di atas katil sebaik pulang ke rumah.

“Saya fikirkan anak saya sedang tidur sebelum cuba mengejut beliau dan mengalami sedikit kejutan elektrik apabila menyentuh tubuhnya,” katanya.

Boonpeng cuba menutup suis digunakan namun mangsa tidak dapat diselamatkan lagi.

Pemeriksaan mendapati Nong turut mengalami kesan melecur pada tangan kiri, dipercayai berpunca daripada kejutan elektrik itu.

Pegawai penyiasat, Kapten Khanti Peansoongnern berkata, kejadian berpunca daripada kabel terbabit.

Katanya, arus elektrik yang dialirkan kabel itu membunuh remaja berkenaan apabila ia menyentuh kaki katil digunakan mangsa. - Agensi

Berita Harian X