Khamis, 7 November 2019 | 11:07am
NAIB Presiden Parti Penyelamat Nasional (CNRP), Mu Sochua. - Foto REUTERS

Malaysia tahan Naib Presiden parti pembangkang Kemboja

KUALA LUMPUR : Seorang pemimpin parti pembangkang yang sudah diharamkan di Kemboja ditahan pihak berkuasa Malaysia hari ini, selepas negara jiran Thailand menyekat cubaan beliau untuk pulang ke tanah air, sebaik mengadakan satu sidang akhbar di Indonesia.

Mu Sochua, naib presiden Parti Nasional Kemboja (CNRP) ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba bersama-sama pengasas parti, Sam Rainsy, sebelum sempat pulang ke Kemboja Sabtu ini.

“Beliau kini berada di bilik tahanan imigresen di KLIA,” kata pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Jerald Joseph.

Menurut Joseph, Sochua dalam perbualan semalam memberitahu, beliau tidak akan dihantar pulang ke Kemboja dan tidak dapat dipastikan lokasi sebenar wanita berkenaan akan dihantar selepas ini.

Thailand minggu lalu bertindak mengusir Sochua apabila beliau mendarat di lapangan terbang utama di Bangkok.

Wanita itu kemudiannya terbang ke Indonesia, sebelum kerajaan Kemboja meminta beliau ditahan selepas mengadakan satu sidang media di sana.

Jabatan Imigresen Malaysia gagal dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penahanan Sochua.

Sementara itu di Kemboja, seorang anggota kanan CNRP berkata, pihaknya tidak diberitahu mengenai penahanan naib presiden mereka di Malaysia.

Pihak berkuasa Kemboja tahun ini menahan sekurang-kurangnya 48 aktivis pembangkang tahun ini berikutan dakwaan mengenai cubaan menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Hun Sen.

Berpuluh aktivis pembangkang yang meninggalkan Kemboja kerana bimbang ditahan menyatakan kesediaan untuk pulang sebagai tanda sokongan terhadap Rainsy. - REUTERS

Berita Harian X