Jumaat, 6 Disember 2019 | 10:34pm
Mejar Jeneral Tun Myat Naing. - Foto fail Reuters

Thailand tahan isteri, anak pemimpin pemberontak Myanmar

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand menahan isteri dan anak komander atasan Tentera Arakan, kumpulan pemberontak yang berjuang menuntut lebih kuasa autonomi di Rakhine, kata pegawai hari ini.

Hnin Zar Phyu, 38, isteri Mejar Jeneral Tun Myat Naing, 41, dan anak mereka, Saw Pyae Shun, 11, dan Myat Lin Zan, 11 bulan, ditangkap di Chiang Mai kelmarin dan didakwa memasuki Thailand secara haram.

Pegawai Thailand mengesahkan Hnin Zar Phyu dan anak mereka ditahan di pejabat imigresen di Mae Sai di wilayah Chiang Rai, lintasan sempadan Thai-Myanmar di utara Thailand.

“Kami menyiasat kes beliau dan mereka masih di Thailand.

“Beliau didakwa dengan memasuki negara ini secara haram kerana pihak berkuasa Myanmar sudah membatalkan pasportnya,” kata pegawai imigresen Thai.

Negeri Rakhine, juga dikenali sebagai Arakan, menjadi perhatian dunia selepas 730,000 etnik Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh susulan kezaliman tentera di Myanmar selepas serangan militan pada 2017. — Reuters

Berita Harian X