Isnin, 6 Januari 2020 | 8:37pm
Keseluruhan kejiranan di Jakarta, membabitkan kediaman dihuni sekitar 30 juta orang, tenggelam sejak minggu lalu kerana banjir, memaksa puluhan ribu mencari tempat perlindungan sementara. - Foto AFP
Keseluruhan kejiranan di Jakarta, membabitkan kediaman dihuni sekitar 30 juta orang, tenggelam sejak minggu lalu kerana banjir, memaksa puluhan ribu mencari tempat perlindungan sementara. - Foto AFP

Indonesia berdepan hujan lebat lebih tinggi

JAKARTA: Penduduk Indonesia dimaklumkan mengenai hujan lebat lebih tinggi akan turun selepas hujan sebelum ini yang mengakibatkan banjir dan tanah runtuh sehingga dilaporkan membunuh 66 orang di sekitar bandaraya itu.

Keseluruhan kejiranan di ibu negara, membabitkan kediaman dihuni sekitar 30 juta orang, tenggelam sejak minggu lalu kerana banjir, memaksa puluhan ribu mencari tempat perlindungan sementara.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan melindungi harta benda mereka daripada ribut yang lebih besar sepanjang minggu akan datang.

"Masih terdapat potensi hujan lebat yang lebih tinggi dalam suasana berlakunya hujan lebat dengan kilat, guruh dan angin kencang di Jakarta," kata Biro Cuaca Indonesia dalam satu kenyataan, hari ini.

Agensi itu menjelaskan hujan minggu lalu paling lebat melanda ibu kota berkenaan berdasarkan rekod abad ke-19, yang membawa kepada musibah banjir paling berbahaya di bandar raya itu.

Kira-kira 377 milimeter hujan turun di sebahagian bandar raya itu, dengan banjir mencapai sehingga tingkat dua bangunan selepas air sungai melimpah.

Sekurang-kurangnya dua orang di barat Jakarta dimasukkan ke hospital semalam selepas bangunan lima tingkat runtuh, yang menurut agensi pencarian dan penyelamatan Indonesia mungkin disebabkan oleh peningkatan air hujan.

Pihak berkuasa melaporkan angka kematian sudah meningkat kepada 66 orang dengan dua dilaporkan hilang di Lebak, di bahagian barat ibu negara itu.

Beribu-ribu penduduk terjejas masih berada di kawasan perlindungan yang sempit di Jakarta, ketika pihak berkuasa masih berusaha menyelamatkan mangsa yang terjejas dari kawasan terpencil.

Semalam, pekerja kesihatan dan tentera menyembur bahan anti penyakit di kawasan terjejas dalam usaha mencegah wabak penyakit. - AFP

Berita Harian X