Ahad, 12 Januari 2020 | 6:59pm
Orang ramai mengambil kesempatan merakam gunung berapi Taal meletuskan debu di Tagaytay, Manila. - Foto AFP
Orang ramai mengambil kesempatan merakam gunung berapi Taal meletuskan debu di Tagaytay, Manila. - Foto AFP

Gunung berapi Taal letuskan debu

MANILA: Sebuah gunung berapi dekat sini, meletuskan debu hari ini, sekali gus menggerakkan kemungkinan langkah pemindahan ribuan penduduk, kata pihak berkuasa.

Ahli seismologi kerajaan merakamkan pergerakan magma terhadap kawah Taal, satu daripada gunung berapi paling aktif yang terletak 65 kilometer di selatan Manila.

Ketua Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina, Renato Solidum, berkata keadaan itu memungkinkan gunung berapi terbabit meletup dalam tempoh beberapa hari hingga minggu jika pergerakan magma berterusan.

Kali terakhir Taal meletup ialah pada 1977, katanya.

Gumpalan debu setinggi satu kilometer dapat dilihat dengan jelas manakala beberapa gegaran dirasakan dalam lingkungan kawasan gunung berapi yang popular dalam kalangan pelancong berikutan pemandangan menariknya.

Pejabat bencana tempatan melaporkan, lebih 2,000 penduduk di kepulauan gunung berapi itu sudah dipindahkan.

Solidum berkata, pegawai akan mengarahkan penduduk di pulau berhampiran Aberpindah jika keadaan menjadi lebih teruk.

Gunung berapi dan keadaan berkaitan gempa biasa berlaku di Filupina berikutan kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, yang mana plat tektonik bertembung di bawah permukaan bumi. - AFP

Pada Januari 2018, ledakan Gunung Mayon menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan kediaman susulan letusan debu, batu dan lahar di wilayah tengah Bicol. -

Berita Harian X