Selasa, 24 March 2020 | 9:05pm
Pasangan memakai topeng mulut dan hidung di Singapura bagi menghalang jangkitan COVID-19. Foto AFP
Pasangan memakai topeng mulut dan hidung di Singapura bagi menghalang jangkitan COVID-19. Foto AFP

COVID-19: Saintis Singapura kaji genetik percepat vaksin

SINGAPURA: Saintis Singapura berjaya menghasilkan kaedah untuk mengesan perubahan genetik yang boleh mempercepat ujian vaksin, dalam usaha menentang penyebaran wabak COVID-19.

Setakat ini, wabak COVID-19 sudah membunuh lebih 16,500 orang di seluruh dunia.

Saintis di Fakulti Perubatan Duke-National University Singapore (NUS), berkata teknik itu hanya memerlukan tempoh beberapa hari bagi mengkaji keberkesanan vaksin yang dihasilkan oleh Arcturus Therapeutics.

Menurut Timbalan Pengarah Program Penyakit Berjangkit, Ooi Eng Eong, menerusi kaedah itu, saintis boleh mengetahui keberkesanannya melalui perubahan gen.

“Kebanyakan ujian vaksin mengambil masa beberapa bulan bagi melihat tindakan balas manusia.

“Bagaimanapun, menerusi kaedah ini, saintis boleh mengetahui apa yang merangsang gen dan sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, penilaian pantas terhadap perubahan gen akibat vaksin juga membolehkan saintis menentukan keberkesanan dan kesan sampingannya.

Eng Eong berkata, beliau bercadang untuk memulakan ujian vaksin itu ke atas tikus dalam tempoh seminggu, manakala ujian terhadap manusia dijangka dilakukan pada pertengahan kedua tahun ini.

Setakat ini kebanyak firma farmaseutikal dan penyelidik di seluruh dunia berusaha menghasilkan rawatan dan vaksin bagi COVID-19 yang sudah merebak kepada lebih 377,000 orang. – REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X