Jumaat, 27 March 2020 | 6:43pm
Gambar diedarkan Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan menunjukkan Gunung Merapi memuntahkan awanan debu setinggi 5,000 meter. - Foto AFP
Gambar diedarkan Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan menunjukkan Gunung Merapi memuntahkan awanan debu setinggi 5,000 meter. - Foto AFP

Merapi memuntahkan awan debu

JAKARTA: Gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi, hari ini memuntahkan awanan debu setinggi 5,000 meter dalam letusan kali kedua bulan ini.

Debu dan pasir menyelubungi kawasan sejauh beberapa kilometer dari kaki gunung terbabit, yang terletak berhampiran Yogyakarta, namun pihak berkuasa tidak menaikkan tahap amaran.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Agus Wibowo, berkata tiada laporan kemusnahan diterima akibat letusan terbaru itu dan menggesa orang ramai bertenang serta jangan panik.

Merapi meletus awal bulan ini, memuntahkan awanan debu setinggi 6,000 meter ke ruang udara, menyelubungi Yogyakarta dan bandar berhampiran, Solo, dengan selaput debu kelabu selain memaksa lapangan terbang ditutup.

Letusan besar Gunung Merapi sebelum ini pada 2010 mengorbankan lebih 300 nyawa dan memaksa pemindahan 280,000 penduduk setempat.

Itu adalah letusan terkuat gunug berkenaan sejak 1930, yang membunuh kira-kira 1,300 orang manakala satu lagi letusan pada 1994 mengorbankan sekitar 60 mangsa. - AFP

Berita Harian X