Khamis, 9 April 2020 | 4:01pm
Pekerja asing berada di kawasan asrama kediaman mereka di Singapura. - FOTO AFP
Pekerja asing berada di kawasan asrama kediaman mereka di Singapura. - FOTO AFP

COVID-19: Pekerja migran di Singapura hidup dalam ketakutan

SINGAPURA: Pekerja migran di Singapura sedang hidup dalam ketakutan susulan peningkatan jangkitan COVID-19 di asrama kediaman mereka.

Golongan itu mendakwa keadaan asrama yang sempit dan kotor menyebabkan langkah penjarakan sosial adalah mustahil untuk dilakukan.

Minggu ini, Singapura yang sedang berjuang memerangi penularan wabak semakin buruk itu, melaksanakan kuarantin terhadap empat kompleks asrama pekerja yang besar.

Asrama terbabit menempatkan puluhan ribu pekerja, kebanyakannya dari Asia Selatan, di mana lebih 200 kes jangkitan COVID-19 dikesan, setakat ini.

Kes jangkitan turut direkodkan di beberapa kemudahan lain.

Seorang pekerja dari Bangladesh yang tinggal di sebuah asrama terjejas dengan beberapa kes jangkitan tetapi belum dikuarantin, memberitahu AFP bahawa penjarakan sosial untuk mengekang penularan virus itu tidak mungkin dapat dilakukan.

“Sebuah bilik kecil dengan 12 orang tinggal bersama... bagaimana kami boleh melakukan penjarakan sosial?” katanya yang enggan dikenali.

Beliau mendakwa, tahap kebersihan adalah teruk dengan pekerja terpaksa menggunakan kawasan memasak dan bilik mandi yang dikongsi beramai-ramai.

“Kami tahu ciri virus itu dan bagaimana ia tersebar. Oleh itu, jika keadaan hidup sebegini berterusan, saya amat bimbang,” katanya.

Sekurang-kurang sebuah asrama mempunyai tandas yang melimpah dan bilik dipenuhi lipas, lapor akhbar Straits Times di mana pengkritik menyifatkannya sebagai layanan buruk terhadap buruh asing di negara kaya ini.

Kebanyakan asrama besar dihuni pekerja yang lazimnya memperoleh pendapatan kira-kira $400 hingga $500 sebulan sebagai buruh projek pembinaan bangunan pencakar langit dan pusat beli-belah.

Seorang lelaki Bangladesh di salah sebuah asrama yang dikuarantin berkata, pekerja semakin bimbang terhadap peningkatan jumlah kes jangkitan yang tidak bergejala.

“Sudah pasti kami semua bimbang.

“Sejak beberapa hari kebelakangan ini, kami sudah mendapat berita bahawa ramai orang terjejas tanpa sebarang simptom,” katanya yang juga enggan dikenali kepada AFP.

Terdapat kira-kira 280,000 pekerja pembinaan migran di Singapura yang kebanyakannya tinggal di asrama dengan kedai dan kemudahan lain berada di lokasi.

Mereka sering ditempatkan di kawasan kurang ‘diingini’ di bandar, sekali gus hanya mempunyai sedikit pergaulan dengan warga tempatan.

Selepas muncul laporan mengenai keadaan teruk di salah sebuah asrama yang dikuarantin, Kementerian Tenaga Manusia berkata, pihaknya sedang berusaha memperbaiki keadaan itu.

Katerer pula menyediakan makanan kepada pekerja yang menjalani perintah berkurung, manakala perkhidmatan pembersihan ditingkatkan.

Sebuah pasukan petugas membabitkan pegawai kerajaan, polis dan tentera juga ditubuhkan bagi memberi sokongan kepada pekerja asing serta pengendali asrama.

Kementerian itu menjelaskan, pihaknya akan ‘terus memantau rapat keadaan asrama terbabit dan campur tangan secara proaktif bagi memastikan standard dipatuhi.’

Amnesty International bagaimanapun memberikan amaran bahawa kuarantin pekerja yang tinggal bersesak-sesak boleh menjadi satu ‘resipi bencana.’

“Pekerja migran yang tinggal di kuarters sesak, tanpa peluang untuk mengasingkan diri dan melindungi diri mereka, berisiko terdedah kepada virus itu,” kata penyelidik Amnesty Singapura, Rachel Chhoa-Howard.

Naib Presiden kumpulan hak migran Transient Workers Count Too, Alex Au, pula menyeru kerajaan supaya menempatkan sementara sebilangan pekerja terbabit di lokasi lain seperti berek tentera.

“Kami bimbang jika kepadatan di asrama terbabit tidak dikurangkan, jangkitan di banyak asrama berkenaan akan meningkat,” katanya.

Setakat ini, Singapura melaporkan lebih 1,600 kes, termasuk enam kematian akibat COVID-19 yang secara relatif rendah mengikut standard global, malah mendapat pujian atas tindakannya menangani wabak itu.

Bagaimanapun, kes jangkitan terus meningkat dan pihak berkuasa memperkenalkan langkah ketat baharu untuk mengekang penularannya, minggu ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 142 kes baharu - angka harian tertinggi sejak wabak itu dikesan di Singapura.

Jangkitan di asrama dan keadaannya yang teruk mencetuskan perhatian berhubung layanan terhadap buruh asing yang memainkan peranan penting dalam transformasi dramatik negara ini menjadi hab kewangan ultramoden. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X