Jumaat, 1 September 2017 | 2:38pm
ANGGOTA penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di Mumbai. - Foto Reuters

Bangunan di Mumbai runtuh, 33 maut

MUMBAI: Jumlah kematian dalam insiden bangunan usang berusia 117 tahun yang runtuh di sini, semalam, meningkat kepada 33 orang, ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengesan mangsa yang terperangkap.

Setakat ini, tiada maklumat lengkap mengenai mangsa yang masih hilang dalam kejadian terbabit, iaitu beberapa hari selepas Mumbai dilanda banjir susulan hujan lebat.

Kira-kira 46 mangsa sudah dibawa keluar daripada runtuhan dan daripada jumlah itu, seramai 33 orang disahkan meninggal dunia.

"Operasi menyelamat masih diteruskan. Jentera bomba, van penyelamat dan ambulans masih berada di lokasi kejadian," kata ketua bomba, P S Rahangdale.

Katanya, kira-kira 14 anggota bomba dan penyelamat turut cedera ketika menjalankan usaha menyelamat.

Sementara itu, polis masih belum mengenal pasti punca runtuhan bangunan yang dibina di kawasan padat dengan penduduk.

Malah, kebanyakan penghuninya terus tinggal dalam bangunan itu, walaupun pihak berkuasa mengisytiharkannya sebagai tidak selamat. - Reuters

Berita Harian X