Selasa, 5 September 2017 | 11:56am
Foto disediakan oleh Kementerian Strategi dan Kewangan Korea Selatan menunjukkan Menteri Kewangan Korea Selatan Kim Dong-yeon (kanan) dan utusan presiden Russia di Timur Jauh, Yuri Trutnev mengadakan sidang akhbar di Vladivostok, Russia. - Foto EPA-EFE

Isu nuklear Korea Utara fokus sidang kemuncak

SEOUL: Program nuklear Korea Utara menjadi agenda utama sidang kemuncak antara Korea Selatan dan Russia yang dijadual berlangsung minggu ini, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap.

Presiden Moon Jae-in dan rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Putin, dijadual mengadakan perbincangan, esok, sejurus tiba di Vladivostok bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur.

"Susulan ujian nuklear Korea Utara, kami menjangkakan sebahagian besar sidang kemuncak Korea-Rusia menumpukan perkara itu.

"Ia merangkumi pertukaran maklumat dan perbincangan mengenai tindak balas untuk masa depan," kata ketua Keselamatan Negara di pejabat presiden, Nam Gwan-pyo, pada satu taklimat media.

Ahad lalu, Korea Utara melakukan ujian nuklear keenam dan paling kuat setakat ini.

Forum Ekonomi Timur yang akan berlangsung Khamis pada asalnya bertujuan membincangkan kerjasama ekonomi untuk membantu membangunkan Timur Jauh Russia.

Nam merangkap anggota tetap Majlis Keselamatan Negara berkata, isu paling penting pada sidang kemuncak Korea-Russia membentuk satu hubungan erat dan kepercayaan antara pemimpin kedua-dua negara.

Antara tumpuan perbincangan ialah cara meningkatkan kerjasama keselamatan.

Pertemuan itu adalah yang kedua sejak Moon mengambil alih jawatan pada Mei.

Pada lawatan dua hari itu, Presiden Korea Selatan juga dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Mongolia, Khaltmaagiin Battulga dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.

Kali terakhir Putin melawat Seoul ialah pada November 2013. - BERNAMA

23 dibaca
Berita Harian X