Selasa, 3 Oktober 2017 | 7:06pm
Lokasi kejadian seorang lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 58 orang dan mencederakan lebih daripada 500 orang lain ketika dia melepaskan konsert muzik di Las Vegas, Nevada pada 2 Oktober 2017. - Foto AFP
Lokasi kejadian seorang lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 58 orang dan mencederakan lebih daripada 500 orang lain ketika dia melepaskan konsert muzik di Las Vegas, Nevada pada 2 Oktober 2017. - Foto AFP

Australia tawar diri bantu AS perbaharui undang-undang senjata

SYDNEY: Australia menawar diri membantu Amerika Syarikat (AS) memperbaharui undang-undang senjatanya hari ini susulan kejayaan kawalan ketat selama dua dekad terhadap isu sama.

AS kini dalam peringkat pemulihan selepas sekurang-kurangnya 59 orang terbunuh dan lebih 500 lain cedera apabila penyerang bersenjata, seorang pesara akauntan, Stephen Paddock melepaskan tembakan ke arah ribuan pengunjung konsert di Las Vegas sebelum membunuh diri.

Tragedi mengejutkan itu mencetuskan gesaan diperbaharui terhadap kawalan senjata, subjek sensitif di sebuah negara di mana pelobi pro-senjata, Persatuan Raifal Kebangsaan adalah kuasa politik utama.

"Apa yang kami tawarkan adalah pengalaman. Namun pada akhirnya, terpulang kepada pembuat dasar dan penggubal undang-undang AS serta orang awam mengubah undang-undang itu bagi memastikan insiden seperti ini tidak berlaku lagi," kata Menteri Luar Australia, Julie Bishop hari ini.

Beliau merujuk pengalaman Australia dalam menguatkuasakan larangan pembelian senjata dan pemilikan senjata separa automatik serta automatik pada 1996.

Pada tahun sama, Australia dikejutkan dengan serangan bersenjata apabila Martin Bryant, bersenjatakan senapang semi-automatik mengamuk dan menembak ke arah tapak bersejarah Tasmania di Port Arthur.

Seramai 35 orang maut dalam pembunuhan beramai-ramai itu, satu perubahan buat negara yang secara tradisinya memiliki kadar tinggi pemilikan senjata api.

Perdana Menteri Liberal ketika itu, John Howard segera memperkenalkan undang-undang senjata lebih tegas, termasuk larangan pemilikan senjata tertentu, usia pemilikan minimum dan lesen.

Lebih 600,000 senjata dimusnahkan selepas itu, dan walaupun mengundang kontroversi ketika itu, langkah kawalan senjata kini memperoleh sokongan kuat orang awam. -AFP

Berita Harian X