Isnin, 16 Oktober 2017 | 12:44am
SEBAHAGIAN pelarian Rohingya di Kem Ghundum bagaikan menantikan bantuan di Ukhiya. - Foto BERNAMA

14,000 anak yatim antara pelarian Rohingya

COX'S BAZAR: Hampir 14,000 kanak-kanak yang kehilangan satu atau kedua-dua ibu bapa adalah antara lebih setengah juta pelarian Rohingya memasuki Bangladesh akibat keganasan di Myanmar.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) berkata, 536,000 pelarian Rohingya tiba dari negeri dilingkari keganasan di Rakhine sejak 25 Ogos lalu, majoritinya kanak-kanak.

Jabatan khidmat sosial Bangladesh berkata, 13,751 kanak-kanak yatim atau yatim piatu dikenal pasti dalam satu tinjauan kem pelarian penuh sesak di sepanjang sempadannya, di mana agensi kebajikan memberi amaran satu krisis kemanusiaan sedang berlaku.

"Majoriti mereka mengatakan kehilangan satu atau kedua-dua ibu bapa dalam keganasan di Rakhine.

"Yang lain mengatakan mereka tidak tahu apa berlaku kepada ibu bapa dan datang ke Bangladesh bersama saudara mara," kata Timbalan Pengarah jabatan, Pritam Kumar Chowdhury kepada AFP.

Pelarian yang terselamat dan lari ke Bangladesh termasuk anggaran 320,000 kanak-kanak, satu pertiga daripadanya berusia bawah lima tahun.

Bangladesh kini membina kem pelarian terbesar dunia di atas kawasan tanah berselerak seluas 1,200 hektar, mampu menempatkan lebih 800,000 pelarian Rohingya.

Bulan lalu seorang menteri muda meminta kawasan seluas 80.94 hektar diperuntukkan dalam kem untuk kemudahan kanak-kanak. - AFP

Berita Harian X