Jumaat, 15 Disember 2017 | 4:37pm
KEM pelarian Rohingya di Balukhali. - Foto Reuters

Rela mati daripada balik ke Myanmar

COX'S BAZAR: Walaupun dilanda penyakit, kebuluran dan kesengsaraan menetap di kem pelarian Bangladesh tidak ramai pelarian Rohingya sanggup pulang ke Myanmar walaupun perjanjian penghantaran pulang sudah dicapai.

November lalu, Myanmar dan Bangladesh memeterai perjanjian untuk menghantar pulang pelarian dalam tempoh dua bulan, namun ramai etnik Rohingya masih ragu-ragu berikutan trauma menjadi mangsa kekejaman dan dihalau dari tanah air sendiri.

"Mereka berjanji tetapi tidak akan mematuhinya. Apabila kami pulang, mereka akan menyeksa dan membunuh kami semula," kata pelarian Rohingya, Muhammad Syed, 33.

Namun, kebimbangan mereka berasas. Semalam, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) berkata, sekurang-kurangnya 6,700 etnik Rohingya dibunuh dalam bulan pertama operasi tentera Myanmar ke atas pemberontak di negeri Rakhine, mulai Ogos lalu.

Keganasan terhadap Rohingya sudah berakhir tetapi masih ada etnik Rohingya yang melarikan diri dari negara itu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Hampir 650,000 minoriti Muslim itu sudah melarikan diri merentasi sempadan ke daerah Cox's Bazar, tenggara Bangladesh, sejak operasi ketenteraan bermula.

Baru-baru ini, ketua hak asasi manusia PBB berkata, antara penyeksaan yang dilakukan termasuk pembunuhan, merogol beramai-ramai dan tindakan memusnahkan ratusan perkampungan Rohingya. Semua tindakan ini, katanya, menunjukkan elemen penghapusan etnik. - AFP

Berita Harian X